20 tonggak tumpuan dunia

June 6, 2010 by  

PENTAS Piala Dunia 2010 yang akan bermula 11 Jun ini bakal menyaksikan kelibat pemain-pemain muda berbakat untuk mempamer kelincahan masing-masing.

Apa yang menarik empat pemain yang pernah dinobat Pemain Terbaik Dunia turut disenaraikan bersama pasukan masing-masing untuk kempen selama sebulan di Afrika Selatan nanti.

Pemain Terbaik Dunia FIFA tahun lalu, Lionel Messi tentunya menjadi fokus utama berdasarkan prestasi hebat dipamerkannya ketika beraksi bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Berikut senarai 20 pemain yang diramal bakal memberi impak di Afrika Selatan:

LIONEL MESSI, Argentina, pemain tengah/penyerang, 22.

Membantu skuad kebangsaan memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Beijing 2008. Meraih enam trofi kejuaraan bersama skuad Barcelona tahun lalu.

Aksinya yang tidak mampu disekat oleh barisan pertahanan lawan, membantu Messi memperoleh hadiah terbesar tahun ini.

XAVI, Sepanyol, pemain tengah, 30.

Bijak beraksi di bahagian tengah skuad Barcelona. Dia merupakan kunci utama kepada Sepanyol ketika menjuarai Kejohanan Eropah 2008.

Kali ini, Xavi sekali lagi mahu memahat namanya sebagai watak utama dalam membantu negaranya mencipta kecemerlangan Piala Dunia 2010.

WAYNE ROONEY, England, penyerang, 24.

Tanpa kelibat lincah Rooney di barisan depan, England mungkin tidak mampu untuk pergi lebih jauh di Afrika Selatan. Namun, peminat England merasakan penyerang Manchester United itu mampu mencapai prestasi puncaknya.

LUIS FABIANO, Brazil, penyerang, 29.

Fabiano merupakan penyerang utama Brazil dan Sevilla, penjaring terbanyak Piala Konfederasi 2009.

GIANLUIGI BUFFON, Itali, penjaga gol, 32.

Dianggap sebagai penjaga gol No.1 dunia. Bintang Juventus itu hanya melepaskan dua gol pada kejohanan Piala Dunia sebelum ini, sekali gus membantu Itali mencatat kemenangan dalam semua perlawanan.

FERNANDO TORRES, Sepanyol, penyerang, 26.

Penyerang handalan Liverpool ini menjaringkan gol kemenangan Sepanyol ketika menentang Jerman pada final Euro 2008.

Namun, aksinya diganggu masalah kecederaan.

WESLEY SNEIJDER, Belanda, pemain tengah, 25.

Pemain Belanda paling kreatif dalam generasinya. Perancang Inter Milan itu mempunyai kemahiran yang menakjubkan dalam menghasilkan jaringan menerusi tendangan percuma.

FRANCK RIBERY, Perancis, pemain sayap, 27.

Kemunculannya diibarat sebagai pengganti kepada pemain legenda Perancis, Zinedine Zidane.

Pemain Bayern Munich ini mempunyai kepantasan yang mengkagumkan.

ANDRES INIESTA, Sepanyol, pemain tengah, 25.

Pemain veteran Barcelona ini mempunyai kemahiran teknikal dan visi yang mantap. Kelebihan itu membolehkan dia berjaya mengetepikan kehebatan penyerang England, Rooney.

DIDIER DROGBA, Ivory Coast, penyerang, 32.

Merupakan pemain terbaik Afrika ketika ini. Pemain kebanggaan Chelsea itu mempunyai susuk tubuh seorang penyerang, kekuatan luar biasa dan ketajaman menghasilkan jaringan.

FRANK LAMPARD, England, pemain tengah, 32.

Secara teknikalnya, Lampard seorang pemain yang sangat bijak, mempunyai teknik hantaran terbaik dalam skuad England.

Selain itu, dia juga mampu untuk menghasilkan jaringan dalam pelbagai cara.

ANDREA PIRLO, Itali, pemain tengah, 30.

Jika Lampard menjadi sandaran England, arkitek AC Milan ini merupakan nadi utama buat skuad kebangsaan Azzurri. Dalam kata lain, dia seorang yang sangat diperlukan.

IKER CASILLAS, Sepanyol, penjaga gol, 28.

Bakal tampil dalam satu lagi episod bersejarah bola sepak Sepanyol. Penjaga gol Real Madrid itu mempunyai kedudukan setaraf penjaga gol Itali, Buffon.

CARLOS TEVEZ, Argentina, penyerang, 26.

Sama seperti Messi, Tevez juga pernah meraih pingat emas pada Sukan Olimpik di Athens, 2004.

Begitupun, penyerang sensasi Manchester City mahu memperoleh hadiah yang lebih bernilai iaitu Piala Dunia.

JULIO CESAR, Brazil, penjaga gol, 30.

Aksi tangkas menafikan percubaan lawan oleh penjaga gol ini amat dikagumi. Mempunyai reaksi spontan yang menjadikannya sebagai pemain pilihan untuk mengisi benteng terakhir Brazil.

ARJEN ROBBEN, Belanda, pemain sayap, 26.

Tenang dan berkebolehan menghasilkan jaringan mengkagumkan. Ia merupakan kelebihan yang membantunya mencipta kecemerlangan ketika beraksi di Belanda, England dan Sepanyol.

SAMUEL ETO’O, Cameroon, penyerang, 29.

Penyerang ternama Inter Milan dan bekas jentera pemusnah Barcelona. Dia merupakan salah seorang penyerang lengkap yang berjaya dihasilkan dalam sejarah bola sepak Afrika.

KAKA, Brazil, pemain tengah, 27.

Piala Dunia kali ini akan menjadi kejohanan ketiga buat pemain perancang berbakat, Kaka.

Ia merupakan pentas terakhir buat dirinya untuk memberi impak kepada kerjayanya sebagai legenda bola sepak dunia.

CRISTIANO RONALDO, Portugal, pemain sayap, 25.

Pemain termahal di dunia, setelah Real Madrid mendapatkan khidmatnya daripada Manchester United.

Namun, sejak akhir-akhir ini, kelibatnya seringkali dibayangi oleh Messi serta Rooney.

STEVEN PIENAAR, Afrika Selatan, pemain sayap, 28

Pemain Everton ini memiliki kelebihan beraksi di posisi sayap atau kiri. Piala Dunia di negara sendiri pastinya memberi kelebihan buat Pienaar untuk membuktikan dia mampu membawa skuad negaranya mara lebih daripada pusingan kedua.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!