Saturday, 16/10/2010

Kelantan ikat Selangor, N.Sembilan menang tipis

Published on October 13, 2010 by admin   ·   No Comments

JUARA 32 kali, Selangor bukan saja gagal mencari bekalan selesa dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia semalam, malah saingan di Stadium Shah Alam turut dicemari pergaduhan di antara penyokong Merah Kuning dan Kelantan.

Kekecohan yang dicetuskan penonton kedua-dua pasukan, selain pesta bunga api dari tempat duduk penonton mengganggu kerancakan perlawanan.

Di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pula, penyandang juara hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perlis dan berdepan laluan sukar pada perlawanan suku akhir pusingan kedua di Kangar Sabtu ini.

Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan terpaksa menunggu sehingga ke separuh masa kedua untuk mendahului lawan, apabila pemain gantian Shahurain Abu Samah menerima hantaran ke depan Abdul Halim Zainal pada minit ke-51 sebelum merembat melalui celah kaki penjaga gol Perlis, Suhardy Alby.

Sementara Selangor menempah laluan berliku apabila gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri selepas seri tanpa jaringan menentang Kelantan di Stadium Shah Alam, semalam.

Bagaimanapun perlawanan yang dijangka tegang itu memperlihatkan kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain apabila, P. Gunalan (Selangor) dan Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan) dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang pasukan pelawat Kedah, malah mereka terpaksa bangkit dari ketinggalan sebanyak dua kali.

Pasukan pelawat berada di depan pada minit ke-28 hasil jaringan Baddrol Bakhtiar selepas Khyril Muhymeen Zambri melakukan rembatan menuju tepat ke arah penjaga gol, Mohd. Shamirza Yusoff dan Baddrol menyambar bola muntah tersebut.

Pada minit ke-38 Terengganu berjaya menyamakan kedudukan 1-1, hasil percubaan cantik Joseph Kalang Tie dari luar petak penalti.

Kedah kembali di depan pada minit 50, apabila Mohd. Fiqry Md. Isa yang tidak dikawal di sebelah kiri pintu gol lawan mendada bola hasil hantaran lintang Khyril sebelum melepaskan rembatan menjadikan kedudukan 2-1.

Terengganu tidak mudah menyerah kalah di gelanggang sendiri apabila kembali mengikat Kedah 2-2 kali ini menerusi jaringan Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi pada minit ke-68.

Di Stadium Jcorp, Pasir Gudang, Johor FC turut mencatat kemenangan selepas menumpaskan Pahang 1-0, sebagai bekalan untuk perlawanan pusingan kedua yang akan berlangsung Sabtu ini di Kuantan.

Tags: ,

Readers Comments (0)




Join Sokernet.com @ Facebook

Berita Berkaitan

Berita Terkini

Hak Cipta © 2010 Sokernet.com | Portal Bola Sepak Terunggul Di Malaysia.