REAL Madrid meraih kemenangan 6-1 ke atas Deportivo Coruna untuk mengatasi Barcelona yang sekadar seri 1-1 dengan Real Mallorca, dalam saingan Liga Sepanyol awal pagi tadi.
Cristiano Ronaldo, Mesut Ozil, Angel Di Maria dan Gonzalo Higuain meletakkan Real 4-0 menjelang minit ke-53 manakala pemain pertahanan Deportivo, Ze Castro menjaring gol sendiri.
Juan Rodriguez memperoleh gol sagu hati untuk pasukan pelawat sebelum Ronaldo melengkapkan kemenangan besar Real.
Terdahulu, Barca gagal memanfaatkan gol awal Lionel Messi untuk menambah jaringan, sebaliknya melepaskan gol mudah untuk Real Mallorca mencuri mata di Nou Camp.
Real memungut 14 mata daripada enam perlawanan, dua mata di belakang pendahulu Valencia yang mengukuhkan kedudukan selepas menang 2-1 ke atas Athletic Bilbao di gelanggang sendiri kelmarin.
Villarreal di tempat kedua dengan 15 mata selepas menewaskan Racing Santander 2-0.
Barca dengan 13 mata berada di tempat keempat, satu mata di depan Sevilla yang menewaskan Atletico Madrid 3-1.
Tags: Deportivo, La Liga 2010-2011, Liga Sepanyol, Real Madrid