JUARA bertahan Barcelona kembali mengatsi musuh ketat, Real Madrid yang turun ke tangga ketiga selepas merakamkan kemenangan 3-1 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi Liga Sepanyol awal pagi tadi.
Kemenangan ketiga Barca itu dihasilkan menerusi jaringan Seydou Keita, Xavi dan Sergi Busquets pada separuh masa kedua selepas Bilbao terpaksa beraksi dengan 10 pemain ekoran Fernando Amorebieta dibuang padang pada minit ke-33 sementara David Villa turut mengalami nasib yang serupa.
Real Madrid pula seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila sekadar seri 0-0 dengan pendatang baru, Levante dan menyebabkan ketinggalan satu mata dibelakang Barcelona.
Barcelona terpaksa bekerja keras sebelum mencipta kemenangan ke atas Bilbao.
Aksi di San Mames itu menyaksikan tiang gol menjadi penghalang utama pada awal permainan sekalipun lawan tempang tanpa seorang pemain. Namun kegusaran mereka berakhir apabila Keita berjaya menyempurnakan gerakan Villa.
Xavi kemudian menjadikan kedudukan 2-0 namun peminat Barca kembali menjadi resah selepas Bilbao berjaya merapatkan jurang.
Namun Busquets memastikan kemenangan mutlak apabila menjaringkan gol pada lewat permainan.
Sementara itu, pemain Turki, Mehmet Topal dan tonggak Sepanyol, Roberto Soldado membantu Valencia meraih kemenangan bermakna menjelang pertemuan dengan Manchester United dalam kempen Liga Juara-Juara.
“Para pemain meraih sesuatu yang penting dan paling penting sekali ialah pasukan ini tidak beraksi secara individu dan itu yang menjadi kunci sejak dari mula,” kata jurulatih kelab itu, Unai Emery.
Tags: Athletic Bilbao, Barcelona, La Liga 2010-2011, Liga Sepanyol