Empat teratas liga sasaran Johor

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkeyakinan skuad negeri ini mampu menempatkan dirinya di antara empat pasukan teratas di dalam Liga Super tahun depan dan melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Naib Presiden 1 PBNJ, Datuk Abdul Aziz Sapian yang juga merupakan pengurus pasukan berkata, PBNJ yang kini diterajui barisan kepimpinan yang baru mahu mengembalikan semula era kegemilangan bola sepak negeri Johor.

Kepimpinan PBNJ kini diketuai Jais Sarday, yang juga Exco Belia dan Sukan Negeri Johor.

“Di bawah barisan kepimpinan PBNJ yang baru, kita mahu melihat bola sepak di Johor kembali kepada zaman kegemilangannya sebagaimana yang dicapainya ketika zaman 80-an dan 90-an,” katanya di sini, semalam.

Menurut Abdul Aziz, PBNJ turut mahu melihat Johor kembali menjadi apa yang disifatkannya sebagai ‘kilang’ yang menghasilkan ramai pemain bola sepak kebangsaan seperti ketika era kegemilangannya pada tahun-tahun 1980-an dan 90-an.

Ketika era kegemilangannya pada tahun-tahun terbabit, Johor banyak menghasilkan pemain kebangsaan termasuk Dollah Salleh, Khalid Shahdan, Nasir Yusoff yang kini melatih Johor, Salehan Mat Som dan ramai lagi.

Mengenai persiapan pasukan bola sepak Johor yang akan bertanding di dalam Liga Malaysia tahun depan, beliau berkata, ia akan dibarisi pemain-pemain yang berkebolehan dan berpengalaman negara.

Katanya, pemain-pemain terbabit sama ada anak tempatan mahupun yang berasal daripada negeri-negeri lain sememangnya berpengalaman kerana pernah menyarung jersi pasukan yang bertanding di dalam Liga Super.

“Barisan pemain kita amat berpengalaman untuk berjaya di dalam saingan Liga Super dan pertandingan lain,” katanya tentang pasukannya yang kini sedang giat menjalani latihan pusat di bawah kelolaan Nasir yang juga dikenali sebagai The Professor.

Semalam, pasukan Johor mengadakan perlawanan persahabatan dengan Pahang yang dilatih oleh seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh di Mersing yang berkesudahan seri 1-1.

Pasukan Johor kata Abdul Aziz, juga dijadualkan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Polis Diraja Malaysia pada 27 Disember ini dan Melaka empat hari kemudian.

About the Author

Sokernet has written 70 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2009 Berita Bola Terkini. All rights reserved.
Powered by Sokernet.com, Berita Bola Terkini and Info Bola Sepak Teams.