Pasukan kerdil calar reputasi kelab elit EPL
- Wednesday, December 23, 2009, 10:33
- Liga Perdana Inggeris
- 25 views
- Add a comment
DARI detik Burnley meraikan kepulangan mereka ke persaingan teratas bola sepak England dengan satu kemenangan mengejut 1-0 ke atas Manchester United (lihat video) pada satu malam hangat Ogos lalu, Liga Perdana menjadi sedikit gila.
Keputusan itu mencetuskan satu nada bagi musim yang memikat dalam liga yang banyak digembar-gemburkan sejak permulaannya dan ketika satu tempoh sibuk Hari Natal mendekati, kejutan kian menjadi-jadi sepantas salji yang menyelubungi England.
Kerana wang dan keadaannya, Liga Perdana dikecam kerana mudah diramal dengan pasukan tetap Liga Juara-Juara, United, Chelsea, Liverpool dan Arsenal menguasai tempat teratas seperti sebuah kelab persendirian.
Namun tidak musim ini. Dengan tiba-tiba, kejutan tiba bertalu-talu dan pasukan handalan tertewas seperti si juara United yang ditewaskan Fulham, Sabtu lalu.
Ketika Chelsea mendahului dengan empat mata, semuanya masih tampak menjadi rebutan sama ada gelaran utama atau sagu hati ke Liga Juara-juara.
Perangkaan menggambarkan ceritanya. Pada peringkat ini musim lalu, keempat-empat kelab handalan itu telah kalah 10 perlawanan sesama mereka.
Kali ini angkanya ialah 19, sudah pun bertambah dua daripada jumlah kekalahan yang dialami keempat-empat elit itu musim lalu.
Liverpool, layu di tempat kelapan, sudah kalah tujuh kali berbanding satu ketika tempoh masa yang sama tahun lalu, manakala United tertewas lima kali berbanding dua, 12 bulan lalu dan Chelsea bertambah satu kekalahannya.
Hanya Arsenal, pasukan tempat ketiga mempertahankan aliran itu walaupun anak buah Arsene Wenger itu masih kalah empat perlawanan berbanding lima pada peringkat ini dalam 2008-09.
Apa yang tampak jelas ialah aura yang mengelilingi empat teratas semakin menghilang. United tidak hanya dikalahkan oleh Fulham, mereka bertuah kerana terlepas dengan kekalahan 3-0 walaupun kecederaan memang merosakkan benteng mereka.
Chelsea bagaimanapun tidak mampu memanfaatkan peluang, seri 1-1 dengan pasukan kedua terbawah West Ham United, Ahad lalu yang bererti pasukan Carlo Ancelotti hanya menang sekali dalam empat perlawanan liga dan sekali dalam enam perlawanan pada kesemua pertandingan.
Liverpool tampak adil buat sebarang pasukan dalam Liga Perdana seperti kekalahan 2-0 mereka yang tergambar di Portsmouth, Sabtu lalu manakala Arsenal semakin menyerah jika di tempat lawan seperti disaksikan dengan kekalahan di Sunderland, bulan lalu.
Kehambaran Liverpool membuka peluang keemasan kepada sekumpulan kelab yang terdesak menyertai empat teratas, termasuk Aston Villa yang kini di tempat keempat, Tottenham Hotspur kelima dan kelab kaya raya Manchester City, yang memecat pengurus Mark Hughes biarpun hanya beberapa mata ketinggalan di tempat keenam.
“Anda ada Aston Villa, Manchester City, kami dan Fulham. Kami semua mengasak untuk menyertai empat teratas dan anda tidak akan tahu, sebuah pasukan mampu melakukannya, dua pasukan juga,” kata pengurus pasukan Tottenham, Harry Redknapp selepas kemenangan pasukannya ke atas Blackburn Rovers 2-0 meletakkan mereka cuma empat mata di belakang United.
“Ia tidak mustahil. Villa tampak amat kuat, kami bermain baik, Manchester City memiliki sebuah pasukan yang bagus, Fulham berprestasi hebat,” katanya.
Villa bimbingan Martin O’Neill menghimpunkan deretan kemenangan empat perlawanan tetapi pencapaian mereka bakal teruji dengan perlawanan berturut-turut menentang Arsenal dan Liverpool selepas Hari Natal.
Bagaimanapun Steve Bruce yang pasukannya, Sunderland dikalahkan Villa, minggu lalu, tidak meragui bahawa Villa memiliki apa yang diperlukan untuk mengharunginya.
“Martin tidak akan menyukai saya mengatakan ini tetapi bagi saya, jika saya seorang kaki judi, wang saya ialah pada Villa untuk menyertai empat teratas,” kata Bruce yang memenangi gelaran dengan Manchester United.
Chelsea bertandang ke Birmingham yang ceria pada 26 Disember dan dua hari kemudian, bertembung Fulham di tempat sendiri manakala Manchester United akan menyusun benteng mereka bagi satu kunjungan ke Hull City sebelum melayani Wigan Athletic.
Dalam musim biasa, kedua-dua perlawanan United akan dicatat sebagai pemungut tiga mata tetapi si juara tampak terluka ketika ini dan pasukan lain yang kurang kuat dalam liga sedang berbaris bagi satu bonus Hari Natal yang tidak dijangka.
About the Author
Write a Comment
Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!