Peluang Malaysia akhiri penantian 20 tahun emas bola sepak Sukan SEA

MALAYSIA berpeluang menamatkan kemarau emas selama 20 tahun apabila mara ke perlawanan akhir acara bola sepak lelaki pada Sukan SEA ke-25, selepas menewaskan Laos 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, malam ini.

Lawan Malaysia pada pertemuan akhir yang dijadual Khamis ini (17 Disember) ialah Vietnam yang menumpaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di Stadium Chaou Anouvong.

Badrol Bakhtiar menyumbat dua gol untuk Malaysia pada minit ke-14 dan 80 manakala gol ketiga dijaringkan oleh Safiq Rahim minit ke-85.

Biarpun stadium dipenuhi 23,000 penyokong tuan rumah, anak buah K Rajagobal bermula dengan yakin dan melakukan beberapa percubaan berbahaya bagi menguji kekuatan lawan.

Kedua-dua pasukan tidak bertemu dalam saingan peringkat kumpulan. Malaysia ialah naib juara Kumpulan A sementara Laos mengungguli Kumpulan B.

Malaysia yang kali terakhir beraksi dalam saingan separuh akhir pada edisi 2005 di Filipina, membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi jaringan Badrol Bakhtiar.

Gol tersebut berpunca daripada umpanan lintang Abdul Manaf Mamat di depan gawang lawan dan sepakan lipatan gunting dari Badrol mencecah jaring lawan.

Bagaikan selesa dengan gol awal tersebut, barisan pemain Malaysia kemudian memperlahankan rentak perlawanan.

Menyedari kerapuhan benteng, Rajagobal kemudian mengeluarkan tonggak pertahanan Mohd Sabree Mat Abu dan memasukkan Muhamad Azmi Muslim.

Namun tindakan tersebut agak terlambat apabila Laos mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-72 menerusi rembatan Kanlaya Sysomvang, selepas dia memperdayakan benteng Malaysia.

Lapan minit kemudian, Badrol menjadi wira Malaysia apabila rembatannya membolosi gawang Laos sekali lagi.

Gol tersebut berpunca dalam perebutan di depan gawang lawan apabila tendangan S Kunalan terkena palang gol sebelum Badrol menyambar bola tersebut dan melepaskan rembatan kencangnya tepat ke jaring Laos.

Safiq melengkapkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-85 selepas hantaran dari Norshahrul Idlan Talaha di depan gawang lawan ditampannya kemas ke jaring lawan.

Kali terakhir Malaysia memperoleh pingat emas dari acara bola sepak ialah pada edisi di Kuala Lumpur, 20 tahun lepas di bawah bimbingan jurulatih dari Britain, Trevor Hartley.

Sejak emas edisi 1989 (Kuala Lumpur) itu, Malaysia hanya mampu meraih perak pada edisi 2001 (Kuala Lumpur) apabila format pertandingan temasya dwi-tahunan ini diubah kepada pasukan Bawah 23 tahun dan kemudian memperoleh gangsa pada edisi 2003 (Vietnam) dan 2005 (Filipina).

Pada edisi 2007, Malaysia tersingkir awal, pada saingan peringkat kumpulan.

Malaysia, naib juara Kumpulan A, memulakan cabaran peringkat kumpulan dengan membelasah Timor Leste 11-0, tumpas 1-3 kepada Vietnam, menang 4-0 ke atas Kemboja sebelum melakukan kejutan dengan mengalahkan juara bertahan sebanyak lapan edisi berturut-turut, Thailand, 3-1.

Sementara Laos, juara Kumpulan B, memulakan cabaran dengan keputusan seri 1-1 dengan naib juara dari edisi Korat, dua tahun lepas, Myanmar, sebelum menewaskan Indonesia 2-0 dan seri tanpa jaringan dengan naib juara Kumpulan B, Singapura.

MALAYSIA: Mohd Sharbinee Allawee, Mohd Sabree Mat Abu (Mohamad Azmi Muslim), Mohd Nasiq Baharom, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Badrol Bakhtiar, K Gurusamy, S Kunalan, Safiq Rahim, Mohamad Muslim Mohamad, Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Manaf Mamat (Amar Rohidan).

LAOS: Souvanpheng Phanthavong, Kanlaya Sysomvang, Kaysone Soukhavong, Phattana Syvilay (Sayya Meuangmany), Keovisiane Keovilay (Dao Khotsaya), Kitsada, Saynakhonevieng Phommapanya, Keoviengphet Lithideth, Ketsada Souksavanh, Lamnao Singto, Khampheng Sayyavutthi.

PENGADIL: Saleem Ali (Maldives)

About the Author

Sokernet has written 145 stories on this site.

4 Comments on “Peluang Malaysia akhiri penantian 20 tahun emas bola sepak Sukan SEA”

  • hadiy wrote on 15 December, 2009, 0:06

    caya la Malaysia!!!lpas ni target qualify asian cup ngn world cup 2022..leh?Malaysia Boleh! ^_^
    (p/s: bg la public holiday kalau mng nnt.. ^_^)

  • wanzul mbpj wrote on 15 December, 2009, 9:34

    sebenarnya malaysia bagus kalau pemain-pemain lama ditukar smua..tukar baru..semangat baru..

  • abe joe wrote on 15 December, 2009, 11:13

    alang-alang dah sampai final biala dapat bawa balik pingat emas sukan sea

Trackbacks

  1. Keputusan perlawanan Malaysia-Laos Sukan SEA 2009

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2010 Berita Bola Terkini. All rights reserved.
Powered by Sokernet.com, Berita Bola Terkini and Info Bola Sepak Teams.