Atletico gusar hadapi serangan Chelsea

ATLETICO Madrid akan berkunjung ke Chelsea dalam Liga Juara-Juara berbekalkan semangat yang luntur selepas tewas 0-3 kepada Osasuna dalam Liga Sepanyol, kelmarin.

Tewas kepada Osasuna, kelmarin menyerlahkan rekod buruk pertahanan Atletico yang bolos 17 gol daripada tujuh perlawanan, mengukuhkan lagi andaian bahawa lawatan ke Stamford Bridge selepas ini ibarat menyerah ‘nyawa’.

Jurulatih Atletico, Abel Resino kini merasai tekanannya sejak awal musim dan tewas kepada Osasuna kelmarin menyempitkan lagi masa depannya dalam kelab tersebut.

“Kami kurang memberi tumpuan kepada permainan. Osasuna bermain seperti veteran tetapi menang perlawanan semalam (kelmarin) sedangkan kami mahukan kemenangan,” kata Resino.

Dalam liga, Atletico hanya satu mata mengatasi garisan zon penyingkiran, malah mereka langsung tidak mempunyai mata dalam Liga Juara-Juara.

Sementara itu, kelab yang naik taraf, Xerez menamatkan penantian selama 62 tahun apabila menang dalam saingan utama ke atas Villarreal 2-1 sekali gus melonjak dari tangga tercorot.

Antonito menjaringkan gol kontroversi pada minit ke-79 untuk mencatat kemenangan bersejarah itu.

“Buat pertama kalinya kelab kerdil seperti kami mencatat kemenangan. Perlawanan memang hebat tetapi kami agak bernasib baik hari ini,” kata jurulatih Xerez, Jose Ziganda.

Pada perlawanan kelmarin, pemain veteran Perancis, Robert Pires meletakkan Villarreal di depan pada minit ke-17 tetapi Mario Bermejo menyamakan kedudukan pada minit ke-42 sebelum Antonio menokok gol kedua 11 minit sebelum wisel penamat.

About the Author

Berita Bola has written 109 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2009 Berita Bola Terkini. All rights reserved.
Powered by Sokernet.com, Berita Bola Terkini and Info Bola Sepak Teams.