Saingan suku akhir Piala Malaysia curi tumpuan
- Tuesday, October 20, 2009, 12:19
- Piala Malaysia
- 79 views
- Add a comment
KEJAYAAN tiga pasukan berstatus kelab menyusup masuk dalam kelompok lapan pasukan terbaik saingan Piala Malaysia 2009 tentunya tidak boleh dipandang enteng oleh pasukan negeri.
Ini kerana pasukan pilihan seperti Perak serta juara bertahan, Kedah gagal untuk melepasi halangan peringkat kumpulan dan tersingkir awal dari saingan kali ini.
Dan, usah terkejut andainya kejuaraan Piala Malaysia musim ini mengulangi sejarah 2003, di mana pasukan berstatus kelab berjaya menjuarai saingan bola sepak paling gah di Malaysia.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (dulu MPPJ), menjadi kelab pertama memecah tembok penguasaan pasukan negeri bagi menjulang Piala Malaysia 2003.
Kehadiran tiga kelab terbaik - Kuala Muda Naza (KM Naza), KL Plus dan Johor FC terselit dalam lapan pasukan mara ke suku akhir, mungkin tidak dijangka oleh sesiapa.
Dua kelab yang juga pendatang baru - KL Plus dan KM Naza tidak sama sekali diduga akan tersenarai dalam kelompok itu, masing-masing menyingkirkan skuad berpengalaman ketika saingan peringkat kumpulan - keputusan itu bakal menjadi igauan semua pasukan kali ini.
Sebagai contoh, KL Plus bukanlah begitu hebat ketika saingan liga malah menamatkan perlawanan di tangga ketujuh manakala KM Naza, kesembilan. Benarlah kata orang, prestasi lalu tidak semestinya menjadi penentu kepada sesebuah pasukan untuk menamatkan saingan di pertengahan jalan.
Selangor contohnya, lebih menyerlah musim ini selain Kelantan, malah yang ada mengatakan final Piala Malaysia musim ini bakal mengulangi final Piala FA dengan skuad Gergasi Merah dipertemukan dengan ‘Red Warriors’.
Mungkin ada benarnya tapi Negeri Sembilan dan Johor FC sebenarnya pengancam kedua-dua pasukan itu. Negeri Sembilan terus mendahului rekod kemenangan ke atas Kelantan sementara Johor FC ‘penyumbang’ badi kepada Selangor khususnya ketika saingan liga.
Sehingga kini, badi ke atas dua musuh tradisi itu belum mampu diatasi Selangor dan Kelantan, dari situlah boleh disifatkan terbentuknya pertembungan ajaib. Aksi dalam liga sememangnya menjadi rujukan semua pasukan kerana mereka sedar inilah peluang keemasan yang ada sebelum tirai Liga Malaysia berlabuh.
Terengganu dan Perlis tidak terkecuali antara skuad pilihan kerana masing-masing pernah menjulang piala yang diperkenalkan pada 1920. Perlis sudah dua kali muncul juara dan naib juara sekali manakala Terengganu, hanya sekali juara dan tiga kali naib juara.
Begitu juga Negeri Sembilan, skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan pernah merangkul piala itu buat pertama kali dengan menundukkan Selangor dalam perlawanan ulangan pada 1948. Sejak itu, mereka cuba menamatkan kemarau tanpa gelaran dan impian itu semakin hampir pada 2006 tapi malangnya, ia diragut Perlis.
Namun apa yang pasti ialah Piala Malaysia musim ini bakal mendapat juara baru selepas juara bertahan, Kedah terkandas di peringkat kumpulan - sama ada mampu mengulangi kejutan yang berlaku seperti 2003, sama-sama kita saksikan aksi kalah mati yang bermula malam ini.
About the Author
Write a Comment
Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!