Inter Milan hadapi krisis barisan depan

JURULATIH Inter Milan, Jose Mourinho kini berdepan krisis serangan tumpul menjelang kempen Kumpulan F saingan Liga Juara-Juara Eropah menentang Dynamo Kiev, hari ini (awal pagi esok).

Gandingan penyerang utama, Diego Milito dan Samuel Eto’o tidak disenaraikan ketika Inter membelasah Genoa 5-0, Sabtu lalu walaupun pemain Cameroon itu dijangka segera pulih.

Milito sudah dijangka tidak beraksi bersama pemain tengah dari Brazil, Thiago Motta, esok.

“Milito dan Motta tidak akan diturunkan. Eto’o mungkin dapat diturunkan walaupun tidak sepenuhnya pulih. Dia boleh melakukannya.

“Sabtu lalu kami bermain begitu hebat tetapi sekarang kami kena berhati-hati. Kami tidak boleh melihat Dynamo seperti Genoa.

“Perlawanan menentang Dyanamo dijangka sukar. Saya pernah melihat mereka menentang Barcelona dan kelab Catalan itu ternyata menerima tentangan hebat,” kata Mourinho.

Mencari kemenangan esok pastinya sukar buat Inter, yang seri dalam dua perlawanan awal dan kini menduduki tangga ketiga kumpulan.

Masalah berganda yang menimpa Inter bukan setakat barisan serangan, malah gergasi bola sepak Itali itu juga terpaksa berdepan masalah pemain tengahnya Esteban Cambiasso yang terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan kapten Perancis, Patrick Vieira, kelmarin.

Inter tidak lagi sanggup kehilangan beberapa pemain utama selepas ini kerana mereka bakal berdepan dengan sebuah pasukan yang sedang meniti kejayaan walaupun asalnya ia tidaklah tidak sekuat mana ketika dalam tahun-tahun 1990 an.

Dynamo mara ke separuh akhir pada 1999 ketika Andrei Shevchenko mengetuai serangan depan.

Kini Shevchenko sudah kembali ke Dynamo selepas menghabiskan masa bersama AC Milan.

Dia bukanlah begitu asing untuk menerobos gawang Inter, malah Shevchenko pernah menyumbat lapan gol dalam Serie A ketika bersama Milan dan tiga lagi dalam Coppa Italia.

Dia juga adalah sebahagian daripada pasukan Milan ketika menyingkirkan Inter dalam saingan 2003 dan 2005 Liga Juara-Juara.

Milan pernah menjadi juara pada 2003 tetapi tewas pada perlawanan akhir 2005.

Inter dan Kiev hanya bertemu sekali sebelum ini dalam saingan Liga Juara-Juara 2003/04 dengan kelab dari Itali itu menang 2-1 pada pertemuan pertama dan seri berikutnya.

Bagaimanapun, kedua-duanya tersingkir dengan Arsenal dan Lokomotiv meneruskan kemaraan dan keadaan serupa dijangka berlaku musim ini.

Dengan kedudukan tangga teratas milik Barcelona, Inter dan Dynamo mengetahui kalah akan menyebabkan kemaraan mereka terbantut.

Setakat ini, Inter tidak pernah gagal untuk melepasi saingan kalah mati sejak 2004 manakala Dynamo tidak pernah berjaya sejak kali terakhir mara ke separuh akhir pada tahun 1999.

About the Author

Berita Bola has written 109 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2009 Berita Bola Terkini. All rights reserved.
Powered by Sokernet.com, Berita Bola Terkini and Info Bola Sepak Teams.