Aksi final dicemari insiden keganasan penonton

INSIDEN keganasan penyokong mencemari final Piala Emas Raja-Raja yang menyaksikan perlawanan dihentikan 10 minit sebelum Perlis dinobatkan sebagai juara baru apabila membenam Kedah 2-0 di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi.

Perlawanan itu turut menyaksikan dua atau tiga pemain dibuang padang (laporan Berita Harian dua pemain manakala laporan Utusan Malaysia tiga pemain dilayang kad merah?), masing-masing penjaring gol pertama Perlis, Romdhi Zat Jamian pada minit ke-82 dan ketua pasukan Kedah, Fazliata Taib tiga minit kemudian yang mencetus insiden rusuhan penyokong yang memaksa pengadil, Mohd Najib Mohd Said menangguhkan permainan buat seketika.

Romdi dilayangkan kad merah kerana mengasari pertahanan, Muammar Nur Rahim manakala Fazliata diarahkan keluar selepas terbabit dalam insiden bertumbuk.

Romdhi sebelum itu membuka jaringan buat pelawat apabila merembat kencang sepakan sudut Mohd Iqmal Azmi yang gagal dikeluarkan kemas untuk mengejutkan lebih 30,000 penyokong yang membanjiri gelanggang keramat skuad Hijau Kuning itu pada minit keempat.

Peminat tuan rumah terus tergamam pada minit ke-18 apabila Adrian Jurad Chamrong melebarkan jurang buat pelawat. Adrian Jurad yang lebih dikenali dengan lontaran jarak jauhnya, membuktikan bisa itu juga terletak pada kakinya apabila meledakkan sepakan percuma dari jarak 35 meter.

Kedah banyak menguasai perlawanan namun penjaring terbanyak mereka, Faizal Abu Bakar kerap kali dikecewakan benteng pertahanan yang diketuai kapten, Adrian Jurad. Selepas perlawanan tamat Faizal menyuarakan kekecewaannya kerana gagal membantu Kedah merangkul Piala Emas Raja-Raja kali ini.

About the Author

Sokernet has written 142 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2010 Berita Bola Terkini. All rights reserved.
Powered by Sokernet.com, Berita Bola Terkini and Info Bola Sepak Teams.