Melaka gagal pertahan kedudukan, PKNS rampas takhta
- Saturday, January 16, 2010, 10:54
- Liga Perdana
- 48 views
- Add a comment
FELDA United mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Perdana apabila menewaskan Sarawak 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Pemain yang berasal dari Kelantan, Fatrurazi Rozi meledakkan dua gol awal pada minit ke-10 dan ke-20. Munir Amran dan Abdul Ghani Abdul Rahman kemudian menambah jaringan pada minit ke-37 dan 43 untuk Felda United mendahului 4-0 pada babak pertama.
Sarawak pula memperoleh gol tunggal menerusi Zamri Morsidi pada minit ke-84. Kemenangan tersebut membolehkan Felda United memanjat ke tangga kedua liga di belakang pendahulu baru, Selangor PKNS.
Sementara itu, di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, PKNS merampas takhta pendahulu daripada tangan Melaka apabila menang 2-0 ke atas Sabah.
Mohd Zamri Hassan muncul watak pemusnah Sabah apabila menyumbat kedua-dua gol tuan rumah pada minit ke-32 dan 45.
Zamri yang berjaya melepasi pertahanan Sabah tidak mempunyai masalah memperdaya benteng terakhir pasukan pelawat ketika hanya berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan.
Sebelum perlawanan babak pertama tamat, Zamri sekali lagi muncul wira apabila bijak mengawal bola ketika diasak pertahanan lawan dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan ke penjuru kiri yang melepasi jangkauan penjaga gawang Sabah.
Melaka pula yang menang 3-0 ke atas Shahzan Muda pada aksi pertama, gagal mengulangi persembahan cemerlang mereka apabila tumpas 0-2 kepada pendatang baru, Pos Malaysia di Stadium Selayang.
Melayani kunjungan bekas pasukan Liga Super itu, Pos Malaysia tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Mohd Khairul Zal Azmi bertindak pantas ketika berlaku kekalutan depan pintu gol pelawat pada minit ke-13 selepas bola terlebih dahulu terkena tiang gol.
Enam minit sebelum tamat perlawanan, tuan rumah terus menambah derita pasukan pelawat apabila rembatan Mohd Hanifuddin Abdul Rahman dari luar kotak penalti berjaya menggegar gawang Melaka untuk keputusan muktamad perlawanan 2-0.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka pula, skuad Harimau muda mencatat keputusan seri kali kedua, kali ini diikat 2-2 oleh Majlis Perbandaran Muar.
Gol Majlis Perbandaran Muar disumbangkan oleh Rosli Azizan pada minit ke-25 dan 52. Harimau Muda kemudiannya bangkit menerusi jaringan Haziq Zikri Elias minit ke-80 dan Mohd Amer Saidin tiga minit kemudian untuk mencatat keputusan seri 2-2.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menyaksikan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terpaksa berkongsi mata dengan pendatang baru, Universiti Sains Malaysia (USM FC) apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
Pasukan Shahzan Muda pula mengutip mata pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan apabila mengikat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-1 malam tadi.
Tentera mendahului pada minit ke-15 menerusi penyerang baru, V Saravanan namun Shahzan menyamakan kedudukan melalui jaringan Mohd Supian Heri, enam minit sebelum rehat.
About the Author
Write a Comment
Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!