Semua wakil England, Sepanyol melangkah ke fasa kalah mati
MANCHESTER United melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Rangers di tempat lawan awal pagi tadi dan turut disertai bersama oleh juara bertahan, Inter Milan dan Barcelona.
Inter Milan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas wakil Belanda, FC Twente dan sedikit sebanyak mengurangkan tekanan ke atas jurulatih pasukan juara bertahan itu, Rafael Benitez manakala Barcelona menang bergaya 3-0 di Greece menewaskan Panathinaikos dengan Pedro menyumbangkan dua gol.
Tiga kelab gergasi itu bakal disertai oleh Valencia, Tottenham Hotspur, Lyon dan Schalke untuk sama-sama beradu nasib di pusingan kalah mati.
Valencia membelasah kelab Turki, Bursapor 6-1 untuk mara bersama-sama Manchester United dari Kumpulan C.
Sementara Tottenham mudah mengenepikan cabaran Werder Bremen 3-0 di tempat sendiri, manakala Schalke 04 pula menundukkan Lyon dengan jaringan yang sama, sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan mara ke pusingan seterusnya.
Dengan keputusan terbaru ini, kelab-kelab tersebut bakal menyertai AC Milan, Marseille, Bayern Munich, Chelsea dan Real Madrid yang terlebih dahulu telah menempah tiket ke pusingan 16 pasukan terakhir.
Wayne Rooney menjaringkan gol tunggal United di Ibrox, Lionel Messi menambah satu lagi jaringan peribadi buat dirinya di Athens dan Klaas-Jan Huntelaar menyumbangkan dua gol buat Schalke dalam kemenangan mereka ke atas Lyon.
Inter yang sedang mengalami musim yang menyukarkan di dalam kempen domestik mereka mampu menarik nafas lega setelah Esteban Cambiasso meledakkan gol buat Inter pada minit ke-55 dan di London, Younes Kaboul, Luka Modric serta Peter Crouch memastikan Tottenham melangkah ke pusingan kalah mati buat pertama kali.
Dalam perlawanan lain, Rubin Kazan menang 1-0 ke atas FC Copenhagen untuk menghidupkan peluang mereka ke pusingan seterusnya walaupun hanya telah menjaringkan dua gol sahaja setakat ini.
Tags: Barcelona, Inter Milan, Liga Juara Eropah, Lyon, Manchester United, Tottenham, Valencia