JURULATIH Barcelona, Pep Guardiola yang terkenal bersikap lemah lembut gagal membendung kemarahan selepas pasukannya terikat 1-1 dengan FC Copenhagen dalam Kumpulan D, Liga Juara Eropah awal pagi Rabu.
Jurulatih berusia 39 tahun itu bertegang leher dengan rakan sejawatnya, Stale Solbakken di tepi padang selepas wisel penamat dibunyikan dan dia kemudiannya menghentam jurulatih yang berasal dari Norway itu pada sidang akhbar selepas perlawanan berakhir dan pada temubual oleh stesen televisyen.
”Tanya dia (Solbakken) apa yang berlaku, dia tahu bagaimana untuk memanipulasi media.
”Saya fikir, dia telah berkelakuan amat buruk dalam situasi ini,” kata Guardiola kepada televisyen Sepanyol ketika ditanya mengenai insiden tersebut.
Pertikaian tersebut berpunca daripada kemenangan 2-0 Barca ke atas juara Denmark itu pada perlawanan di ibu negara Catalan, bulan lalu, setelah penjaga gol Jose Manuel Pinto membuat helah bagi memperdayakan pemain Copenhagen, Cesar Santin yang menyangka dirinya berada dalam kedudukan ofsaid.
Ekoran daripada insiden tersebut, Copenhagen telah mengemukakan aduan rasmi kepada Badan Induk Bola Sepak Eropah, UEFA dan Pinto digantung dua perlawanan.
Guardiola enggan mengulas komen Solbakken, Isnin lalu, yang menyatakan hukuman ke atas Pinto tidak cukup tegas.
”Apa yang dia tidak boleh mohon ialah penggantungan empat perlawanan untuk Pinto,” kata Guardiola.
Tags: Barcelona, FC Copenhagen, Liga Juara Eropah