Pertembungan AC Milan-Real Madrid dijangka sengit
KEPULANGAN Jose Mourinho ke San Siro bakal menjadi tumpuan utama Liga Juara-Juara Eropah awal pagi nanti, di mana kemenangan ke atas AC Milan akan membawa skuad bimbingannya, Real Madrid meraih tiket ke peringkat 16 terbaik.
Turut menjadi tumpuan adalah perlawanan melibatkan dua gergasi England, Arsenal dan Chelsea, selain gergasi Jerman dan naib juara musim lalu, Bayern Munich yang bakal meraih tiket pusingan kalah mati jika memenangi perlawanan masing-masing.
Mourinho sudahpun membimbing skuad jiran Milan, Inter Milan menjulang kejuaraan Eropah musim lalu dan ketika ini, pasukan barunya, Real pula menghuni kedudukan teratas Kumpulan G ketika saingan berbaki tiga perlawanan.
Real tidak pernah menang di San Siro tetapi mereka memiliki motivasi tersendiri untuk memburu tiga mata dengan menyedari kemenangan kedua berturut-turut ke atas skuad Rossoneri akan membawa mereka melangkah ke peringkat kalah mati. Malah, gergasi bola sepak Sepanyol itu juga akan menutup kempen selaku juara kumpulan jika kelab Belanda, Ajax gagal mengalahkan kelab tangga tercorot, Auxerre dari Perancis dalam satu lagi perlawanan.
Pemain tengah Real, Sami Khedira percaya, pertahanan yang mantap akan menjadi kunci perlawanan pagi nanti.
“Anda perlu memiliki benteng yang mantap untuk memenangi kejuaraan dan jika kami dapat mengekang gawang daripada dibolosi, maka kami boleh menang.
“Pasukan hebat yang mampu mengharungi musim Liga Juara-Juara yang panjang biasanya tidak banyak melepaskan gol, jadi itu jelas kunci utama. Sasaran kami di San Siro adalah mendapatkan tiga mata dan melangkah ke peringkat kalah mati,” kata bintang Jerman itu.
Bayern, naib juara musim lalu pula akan berkunjung ke Romania untuk berdepan CFR Cluj dalam Kumpulan E. Seri sudah memadai buat mereka untuk layak jika salah satu pasukan - Basel atau AS Roma mencatat kemenangan dalam satu lagi aksi Kumpulan E.
Turut menjadi tumpuan hari ini pastinya perlawanan melibatkan skuad bimbingan Carlo Ancelotti, Chelsea yang bakal mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan F jika mengalahkan kelab Rusia, Spartak Moscow. Kemenangan ke atas Spartak 2-0 di tempat lawan, dua minggu lalu meletakkan kelab London itu sebagai pilihan utama untuk menang.
Jika Spartak, yang menghuni tangga kedua kalah, maka peluang kelab Perancis, Marseille, yang berada pada kedudukan ketiga untuk melayakkan diri lebih cerah memandangkan lawan mereka hanya kelab kerdil Slovakia yang tidak mengutip sebarang mata setakat ini, MSK Zilina.
Persiapan Spartak menjelang kunjungan ke Stamford Bridge bagaimanapun dicemari insiden buruk ekoran kekecohan yang timbul ketika menundukkan musuh domestik, Zenit St Petersburg dalam liga Rusia, minggu lalu. Dalam insiden berkenaan, lebih 100 peminat membaling kerusi ke dalam padang, manakala pengurus Spartak, Valery Karpin terpaksa ditahan kerana bergaduh dengan pemain Zenit.
Kekalahan mampu menghumban Spartak ke kedudukan ketiga liga tetapi mereka menerima perkhabaran baik dengan berita Chelsea bakal turun tanpa bintang tengah, Frank Lampard yang belum pulih daripada pembedahan pinggul.
Chelsea juga belum pasti dapat menurunkan tonggak pertahanan, Jose Bosingwa dan Alex akibat kecederaan, namun akan kekal dengan pemain Serbia, Branislav Ivanovic di posisi pertahanan tengah.
Dalam Kumpulan H, Arsenal berharap untuk meneruskan prestasi baik Liga Perdana ke saingan Eropah apabila bertandang ke Ukraine bagi menentang Shakhtar Donetsk. Jaringan lewat minit Alex Song membantu skuad Gunners menundukkan West Ham 1-0, hujung minggu lalu. Seminggu sebelum itu, mereka menundukkan Manchester City 3-0.
Satu lagi saingan Kumpulan H menyaksikan kelab Serbia, FK Partizan memburu mata pertama mereka apabila berdepan wakil Portugal dan kelab tangga ketiga, Sporting Braga di laman sendiri.
Tags: AC Milan, Liga Juara Eropah, Prebiu, Real Madrid, Real Madrid vs AC Milan