Rangers buru tiga mata penuh untuk cerah harapan ke pusingan kedua
WAKIL Scotland, Rangers sudah bersedia menggempur Manchester United pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Ibrox awal pagi nanti.
Tampil selaku tuan rumah, Rangers hanya memburu kemenangan bagi mencerahkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati saingan berprestij kelab Eropah itu.
Begitu juga dengan United, skuad The Red Devils tidak mahu keciciran mata bagi mengesahkan slot ke pusingan kalah mati lebih awal.
Musim ini, Rangers yang dibimbing Walter Smith telah mempamerkan banyak peningkatan dalam saingan kelab-kelab elit Eropah selepas berjaya mengumpul lima mata daripada empat perlawanan.
Ketika ini, anak-anak buah Smith menghuni tangga ketiga Kumpulan C dan mereka hanya ketinggalan dua mata di belakang Valencia yang menduduki tangga kedua.
United pula unggul selaku pendahulu Kumpulan C dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri.
Berdasarkan pertemuan pertama menentang United, bulan lalu, Rangers dilihat mempunyai peluang untuk mencipta kejutan apabila berjaya mengikat keputusan seri tanpa jaringan.
Pada aksi di Old Trafford itu, corak permainan secara bertahan yang diterapkan Rangers ternyata membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengekang segala asakan daripada United.
Namun bagi tonggak Rangers, Kenny Miller, dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenai keputusan pada perlawanan tersebut kerana percaya rakan-rakannya yang lain perlu mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol sekiranya mahu mencatatkan kemenangan.
“Formasi yang kami gunakan di Old Trafford benar-benar menakjubkan. Kami akan cuba untuk mengekalkannya, malah akan melakukan lebih daripada itu.
“Secara jujurnya, satu mata yang diperoleh pada perlawanan tersebut cukup bermakna buat kami tetapi kami langsung tidak melakukan percubaan bahaya ke gawang United.
“Kali ini kami mahu mencipta seberapa banyak peluang yang boleh bagi ditambah pula kami beraksi di laman sendiri,” jelas Miller.
Tags: Liga Juara Eropah, Manchester United, Manchester United vs Rangers, Prebiu, Rangers