REAL Madrid yang tidak memenangi sebarang kejuaraan musim lalu, mengharapkan sentuhan jurulatih berkarismatik, Jose Mourinho, untuk menamatkan penguasaan Barcelona dalam La Liga, selain menamatkan kemarau kejuaraan Eropah.
Mourinho tiba di Real selepas cemerlang memberikan kejuaraan treble kepada Inter Milan.
Penyokong Real mahu jurulatih dari Portugal itu memberikan mana-mana kejuaraan yang diraih Barca pada musim lepas.
”Saya faham tekanan daripada media dan penyokong, namun itu bukan merupakan masalah buat saya.
”Tiada pemain atau pengurus yang memenangi tiga kejuaraan (Liga Perdana England, Serie A, La Liga) dan saya mahu menjadi pengurus pertama mencapai Grand Slam’ itu,” katanya.
Mourinho memenangi kejuaraan Liga Eropah pada tahun 2004 bersama Porto, sebelum membimbing Chelsea memenangi dua kejuaraan liga, serta kejayaan bersejarah memenangi tiga kejuaraan, Serie A, Piala Itali dan Liga Juara-Juara bersama Inter Milan, musim lalu.
Pengurus berusia 47 tahun itu mempunyai ramai pemain berkelas dunia seperti Cristiano Ronaldo, Gonzalo Higuain dan dua pemain dari skuad juara Piala Dunia, Iker Casillas dan Sergio Ramos.
Ronaldo, yang baru diberi penghormatan menyarung jersi No. 7 milik bekas ketua pasukan, Raul, yakin dengan kemampuan Mourinho.
”Morinho umpama pemenang kepada saya dan saya cukup gembira dia tiba di sini. Saya harap dapat memenangi banyak kejuaraan pada musim ini kerana itu matlamat saya menyertai Real, ” kata Ronaldo
Mourinho telah membelanjakan kira-kira 70 juta Euro (RM280 juta) untuk meningkatkan kekuatan Real dengan membawa masuk Angel di Maria, yang berharga 25 juta euro (RM100 juta) dari Benfica.
Dengan Kaka masih cedera selama empat bulan, bahagian tengah diperkuatkan dengan dua pemain Jerman, Mesut Ozil dan Sami Khedira, yang menyerlah di Piala Dunia selepas membawa Jerman ke separuh akhir.
Ozil, berusia 21 tahun, dibawa dari Werder Bremen dengan kos 15 juta euro (RM60 juta), manakala pemain tengah, Khedira, dari VfB Stuttgart berharga 12 juta euro (RM48 juta).
Pada usia 32 tahun, Ricardo Carvalho semakin hampir ke penghujung karier, namun Mourinho amat mengetahui kualiti pemain itu, kerana telah bersamanya semenjak di Porto, sebelum ke Chelsea.
Pemain muda, Sergio Canales, 19, bersetuju berpindah ke kelab itu sebelum ketibaan Mourinho, dengan kos perpindahan 4.5 juta euro (RM18 juta).
Sementara pemain tengah, Pedro Leon berharga 10 juta euro (RM40 juta) dibeli dari Getafe.
Tags: Jose Mourinho, Liga Juara Eropah, Real Madrid