SEVILLA bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan juara Liga Sepanyol, Barcelona 3-1 dalam perlawanan pertama Piala Super Sepanyol yang diadakan secara timbal balik, awal pagi tadi
Zlatan Ibrahimovic telah memberikan gol pendahuluan buat Barca pada minit ke-20 hasil hantaran kemas Maxwell.
Namun Sevilla mendominasi separuh masa kedua selepas penyerang Brazil, Luis Fabiano menyamakan kedudukan dengan satu tendangan deras sebaik sahaja perlawanan melepasi masa sejam.
Ibrahimovic kemudian digantikan oleh Lionel Messi namun bintang Argentina itu gagal menghalang Freddie Kanoute merobek gawang Barca dengan dua gol yang memberikan Sevilla kelebihan untuk bertandang ke Nou Camp minggu hadapan.
Kanoute meletakkan Sevilla di hadapan pada minit ke-74 selepas menerima hantaran jauh Negredo lalu merembat bola melepasi penjaga gol Barca, Ruben Mino.
Gol ketiga Sevilla disempurnakan oleh Kanoute pada minit ke-83 dengan menanduk kemas hantaran lintang Diego Perotti.
Tags: Barcelona, Liga Sepanyol, Piala Super Sepanyol, Sevilla, Sevilla vs Barcelona