Friday, 03/12/2010

Liga Juara: Valencia gugat kedudukan United

Published on November 25, 2010 by admin   ·   No Comments

JURULATIH Valencia, Unai Emery percaya barisannya mampu menggugat kedudukan Manchester United yang kini mendahului Kumpulan C dalam saingan Liga Juara-Juara jika mereka berjaya menewaskan pasukan tercorot, Bursaspor di Stadium Mestalla, awal pagi nanti.

Valencia kini di kedudukan tangga kedua dalam kumpulan dan kemenangan ke atas pasukan dari Turki itu bakal menyaksikan mereka mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak musim 2006-07 jika Rangers gagal menewaskan Manchester United di Stadium Ibrox.

“Apa yang kami sasarkan sekarang adalah untuk memenangi baki dua perlawanan dalam kumpulan,” katanya.

Manchester United kini tiga mata mendahului Valencia dan skuad Sepanyol itu akan berkunjung ke Olf Trafford untuk berdepan pasukan bimbingan Alex Ferguson pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, 7 Disember nanti.

Valencia kini berusaha keras untuk meraih tiga mata apabila turun bertemu pendatang baru dalam Liga Juara-Juara, Bursaspor yang tewas semua empat perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol. Bursaspor turut tewas 0-4 ketika beraksi di gelanggang sendiri pada pertembungan pertama kedua-dua belah pihak.

“Saya lebih positif kali ini berbanding sebelumnya,” kata jurulatih Bursaspor, Ertugrul Saglam.

“Kami semakin baik dan memperoleh banyak pengalaman apabila turun bertemu pasukan bertaraf dunia.”

Bursaspor bagaimanapun sudah terkeluar daripada pemburuan ke peringkat seterusnya dan juara Turki itu hanya boleh berharap mampu menamatkan saingan di tempat ketiga sementara Valencia sedar mereka tidak boleh leka apabila Rangers hanya ketinggalan dua mata.

Valencia kini jatuh ke kedudukan tempat kelima dalam saingan Liga Sepanyol, 11 mata ketinggalan di belakang pendahulu liga, Real Madrid selepas hanya beroleh satu kemenangan daripada enam perlawanan liga sebelum ini.

Sementara itu, pasukan Bursaspor menganggap perlawanan hari ini lebih sekadar untuk memberikan pendedahan kepada pemain melakukan yang terbaik, setelah menyedari peluang untuk layak sudah pun tertutup.

”Saya kini lebih berfikiran positif agar apa yang kami lalui pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan musim ini tidak menjadi tekanan kepada semua pemain.

”Kami mahu mendapatkan lebih banyak pengalaman supaya musim depan pemain lebih bersemangat dengan pengalaman yang telah diperolehi,” kata jurulatih Bursaspor, Ertugrul Saglam.

Bursaspor kini di tangga tercorot Kumpulan C, tanpa sebarang mata selepas empat perlawanan.

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Join Sokernet.com @ Facebook

Berita Berkaitan

Berita Terkini

Hak Cipta © 2010 Sokernet.com | Portal Bola Sepak Terunggul Di Malaysia.