PENGURUS merangkap jurulatih Selangor, K Devan mempunyai impian peribadi untuk menjuarai Piala Malaysia 2010 memandangkan beliau belum pernah menjulang piala itu dengan mana-mana pasukan.
“Saya belum menang Piala Malaysia. Pasukan Selangor pula kali terakhir menang (Piala Malaysia) pada 2005. Jadi pihak pengurusan letak sasaran muncul juara musim ini.
“Saya yakin Selangor akan layak ke final pada 30 Oktober depan dan jika nasib memihak kepada kita, Selangor akan jadi juara,” kata Devan pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Bersama Media di Hotel Quality, malam tadi.
Selain para pegawai FAS, turut hadir pada majlis berbuka puasa itu ialah pemain-pemain yang akan menggalas misi Selangor pada saingan Piala Malaysia nanti.
Menjelang sepak mula Piala Malaysia menentang T-Team 14 September nanti, Selangor bakal menghadapi dua lagi aksi persahabatan iaitu menentang Johor FC malam ini dan Pahang pada Rabu.
Selain T-Team, Selangor turut diundi bersama-sama Perlis dan Felda United dalam Kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia 2010.
Tags: Juara, K Devan, Piala Malaysia, Piala Malaysia 2010, Selangor