Jurulatih England, Fabio Capello memberi amaran kepada Wayne Rooney mengenai tingkah laku di luar padang selepas penyerang itu berjaya dirakam kencing dan merokok di jalanan.
Akhbar Britain memaparkan aksi Rooney, 24, dan mendakwa gambar itu dirakam pada pukul 5.30 pagi Ahad lalu selepas pemain itu meninggalkan bar sambil menyanyi dalam keadaan mabuk di tepi jalan di Manchester bersama sahabatnya.
Pemain Manchester United itu baru kembali menjalani latihan pra musim bersama United selepas bercuti panjang sempena Piala Dunia.
“Saya terbaca mengenai Rooney dalam surat khabar dan saya tahu (pengurus United) Sir Alex Ferguson tidak suka dengan apa yang berlaku,” kata Capello.
“Apabila bertemu kelak, saya akan bercakap dengan Rooney dan akan mengatakan perbuatannya itu tidak elok.” Rooney menyertai skuad England menjelang perlawanan persahabatan menentang Hungary, iaitu perlawanan pertama selepas Piala Dunia.
Capello memberi amaran kepada pemain England supaya menjaga disiplin ketika di luar padang pada Mac lalu dan melaungkan amaran pemain yang melanggar arahan itu akan disingkir dari skuad jika didapati menjadi perhatian media.
Capello melakukannya selepas John Terry dilucut jawatan ketua pasukan selepas media menyiarkan hubungan sulit pemain itu dengan bekas teman wanita rakan sepasukan England, Wayne Bridge.
“Mereka perlu berhati-hati sepanjang masa, setiap saat,” kata Capello di Stadium Wembley menjelang perlawanan persahabatan itu.
“Saya sentiasa menasihati pemain (mengenai perkara ini).”
-Metro
Tags: England vs Hungary, Fabio Capello, Perlawanan Persahabatan, Wayne Rooney