ITALI bangkit daripada ketinggalan pada babak kedua untuk membenam Estonia 2-1 dalam aksi pembukaan saingan kelayakan Piala Eropah (EURO 2012).
Antonio Cassano membangkitkan semangat Itali dengan gol penyamaan selepas sejam perlawanan berlalu dan turut menyumbang gerakan kepada gol Leonardo Bonucci tiga minit kemudian.
Sergei Zenjov terlebih dahulu meletakkan Estonia di depan pada minit ke 31 namun tuan rumah kurang bernasib baik apabila cubaan Sander Puri hanya mengenai palang gol meskipun penjaga gol Itali, Salvatore Sirigu sudah tertewas.
Keputusan itu memberi jurulatih baru, Cesare Prandelli kemenangan pertama sejak mengambil-alih tugas tersebut daripada Marcello Lippi selepas Piala Dunia berakhir.
Prandelli meletakkan Cassano, Giampaolo Pazzini dan Simone Pepe di bahagian serangan.
Riccardo Montolivo terlebih menguji gawang Estonia menerusi sepakan lambung dari jarak 20 ela dan penjaga lawan, Sergeo Pareiko terus sibuk diasak.
Gol Estonia berpunca daripada sepakan percuma Vassiljev dan seterusnya disempurnakan Zenjov.
Itali makin garang selepas perlawanan bersambung. Sepakan penjuru Andrea Pirlo berjaya ditanduk Cassano yang tidak dikawal untuk jaringan penyamaan.
Pirlo sekali lagi menjadi arkitek kepada gerakan gol kedua sekali lagi menerusi sepakan penjuru tetapi kali ini Cassano memilih untuk melakukan hantaran tumit dan bola bergolek ke arah Bonucci yang tidak teragak-agak menyumbat gol kemenangan tersebut.
Tags: EURO 2012, Itali, Itali vs Estonia, Kelayakan EURO 2012, Piala Eropah