Hasrat hantar skuad b-23 ke Eropah cadangan ‘pelik’

JURULATIH tempatan menyifatkan keputusan menghantar pemain skuad Bawah 23 tahun beraksi dengan kelab Eropah sebagai ‘cadangan pelik’.

Mereka berkata, tindakan seperti itu belum pernah dilakukan oleh mana-mana negara di dunia apabila semua pemain Bawah 23 beraksi dengan kelab Eropah.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, langkah menempatkan pemain dalam pasukan di liga Eropah hanya sesuai pada peringkat usia pemain remaja.

”Pemain Bawah 23 kita bukan budak-budak lagi. Mereka bukannya pelatih akademi yang memerlukan pendedahan.

”Pada tahap usia sebegini, para pemain ini perlu pendedahan pada peringkat pertandingan tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Irfan berkata beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk melepaskan pemainnya ke Eropah bagi tujuan pendedahan.

”Saya tiada masalah untuk lepaskan dua pemain dalam skuad Terengganu sekarang bersama skuad Bawah 23 negara kerana menyedari ia adalah keperluan negara,” katanya.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bercadang menghantar 30 pemain skuad Bawah 23 tahun negara beraksi dengan kelab-kelab terkemuka Eropah.

Persetujuan yang dicapai bersama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu merupakan salah satu usaha bagi mengekalkan kecemerlangan skuad yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos, baru-baru ini.

Menurut Irfan lagi, beliau bimbang mental pemain skuad emas boleh terjejas jika tidak didedahkan kepada perlawanan yang berbentuk pertandingan.

”Perlawanan persahabatan sahaja tidak mencukupi. Contohnya, seperti bertemu dengan Manchester United kerana ia satu suasana yang berbeza dengan perlawanan sebenar.

”Jika beraksi dalam liga tempatan, kekuatan mental mereka akan sentiasa teruji dan dapat dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Harimau Muda A, Azraai Khor Abdullah berkata, beliau bersetuju jika pendedahan itu bersifat jangka panjang, sebagaimana yang diamalkan kebanyakan oleh pemain dari Afrika, Jepun dan Korea.

”Seandainya pendedahan itu lama dan melebihi satu musim, saya yakin pemain Bawah 23 kita mampu menunjukkan peningkatan daripada segi pembacaan taktikal permainan dan skil mereka.

”Namun, jika ia hanya sekadar pendedahan berbentuk sementara, saya rasa ia mungkin tidak berkesan dalam membantu perkembangan mereka,” katanya.

Azraai juga berkata, selain England, FAM boleh memilih Jerman atau Perancis yang lebih maju dalam pembangunan akademi bola sepak.

”Kalau tidak pun, membuat program kerjasama dengan Liga-J (Liga Jepun) saya rasa dah cukup bagus,” katanya.

About the Author

Sokernet has written 142 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2010 Berita Bola Terkini. All rights reserved.
Powered by Sokernet.com, Berita Bola Terkini and Info Bola Sepak Teams.