Perlis enggan terlalu yakin
- Saturday, October 24, 2009, 8:11
- Piala Malaysia
- 88 views
- Add a comment
TIGA mata yang dikutip sesudah menumpaskan Singa Selatan, Johor FC di gelanggang lawan Selasa lepas, belum cukup buat Singa Utara, Perlis bagi menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia 2009.
Ini kerana, pelbagai keputusan luar jangka boleh berlaku sepanjang 90 minit baki perlawanan suku akhir kedua di Stadium Utama Negeri di sini malam ini.
Salah satu keputusan luar jangka yang mungkin tercatat ialah Johor FC yang kalah 1-2 di tempat sendiri, layak ke separuh akhir setelah membenam tuan rumah dengan kelebihan dua gol.
Jika keputusan itu tersurat malam ini, individu pertama yang menepuk dahi bersama pemain di bangku simpanan Perlis pasti ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim.
Apabila ditanya mengenai peluang Perlis ke separuh akhir selepas menang 2-1, Ifran Bakti menyatakan, keputusan di Stadium JCorp Pasir Gudang, Johor, empat hari lalu itu belum muktamad.
“Kemenangan 2-1 itu tidak boleh disifatkan sebagai ’sebelah kaki’ buat Perlis untuk melangkah ke separuh akhir. Saya paling takut bermain di tempat sendiri. Dalam masa 90 minit suku akhir kedua, macam-macam boleh berlaku.
“Sebab itu, saya sentiasa mengingatkan pemain agar menjadikan perlawanan kedua ini sebagai paling mustahak iaitu memburu kemenangan dengan jumlah gol yang lebih besar,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kata Irfan Bakti lagi, pelawat akan beraksi bermati-matian kerana suku akhir kedua ini adalah perlawanan kalah mati iaitu skuad mana yang kalah perlu menutup buku kempen Piala Malaysia 2009.
Jurulatih Singa Utara itu tidak mahu anak buahnya mengulangi kesilapan di tempat sendiri seperti semasa bertemu KL PLUS baru-baru ini.
Dalam pertarungan Kumpulan A Piala Malaysia pada 3 Oktober lalu, Perlis kalah 2-1 selepas mendahului 1-0 menerusi rembatan Azi Shahril Azmi pada minit ke-71.
Ketika skuad Perlis masih merayakan jaringan tersebut, KL PLUS mengikat kedudukan 1-1 menerusi penyerang tersohornya, Norhazif Zamani Misbah pada minit ke-74, kemudian KL PLUS menang menerusi tandukan minit ke-86 juga menerusi Norhafiz Zamani.
Irfan Bakti mengakui salah satu senjata yang dimiliki oleh skuadnya malam ini ialah sokongan padu penyokong tuan rumah yang mahukan Perlis beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia dan membawa pulang piala tersebut ke Kangar.
Utusan Malaysia
About the Author
Write a Comment
Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!