Kelantan optimis sekat hajat KL Plus

SELEPAS berjaya mengikat KL Plus di Cheras, Selasa lalu melalui jaringan ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin, Kelantan optimis untuk terus melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia.

Pengalaman beraksi di Stadium Bukit Jalil dalam pentas akhir Piala FA, April lalu seakan mahu diulangi, namun apa yang pasti ia adalah perjalanan yang cukup berliku.

Melayan kunjungan KL Plus esok adalah detik penentu sejauh mana sang Kijang mampu melangkah dan atas kertas kelebihan pastinya memihak kepada Kelantan yang akan turun beraksi di stadium keramat mereka di Kota Bharu.

Bagi penyokong Kelantan, mereka yakin dan pasti, malam tersebut pasti menjadi milik mereka berdasarkan rekod sebelum ini di mana Kelantan begitu sukar untuk ditumbangkan.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan ada pesanan untuk para pemainnya.

Menurut beliau, pemain perlu lebih agresif serta jangan terikut- ikut dengan emosi kerana apa yang pasti Stadium Sultan Muhammed IV akan dibanjiri ‘tentera-tentera merah’ malam ini.

“Berdasarkan perkiraan atas kertas kita hanya perlu seri 0-0 untuk mengisi slot ke separuh akhir Piala Malaysia.

“Namun, saya tidak akan memperjudikan nasib dengan cara sebegitu dan berusaha mencari gol awal untuk memastikan kedudukan kita selesa,” katanya.

Tambahnya, beliau kini sedang berusaha memastikan bahagian tengah berfungsi dengan baik kerana sebelum ini ia dilihat agak longgar.

Kosmo

About the Author

Berita Bola has written 109 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2009 Berita Bola Terkini. All rights reserved.
Powered by Sokernet.com, Berita Bola Terkini and Info Bola Sepak Teams.