Tindakan liar penyokong: FAM denda KAFA RM50,000

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) didenda RM50,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran insiden yang dicetuskan oleh penyokong The Red Warriors pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu (7 Nov).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Mohd Taufik Abdul Razak berkata, denda tersebut merangkumi tiga pertuduhan yang dikenakan terhadap KAFA berhubung insiden yang berlaku sepanjang perlawanan tersebut.

“Bagi kesalahan pertama, penyokong Kelantan telah membaling bunga api, objek dan mercun ke arah padang. KAFA didapati bersalah dan didenda RM5,000.

“Kesalahan kedua, objek yang dibaling penyokong Kelantan telah mencederakan pegawai pertandingan. KAFA didapati bersalah dan didenda RM20,000.

“Manakala kesalahan ketiga pula, penyokong Kelantan telah merosakkan harta benda stadium seperti kerusi dan pintu pagar. KAFA didapati bersalah dan didenda RM25,000,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM di Kelana Jaya petang semalam.

Ditanya mengapa KAFA hanya dikenakan denda minimum bagi semua kesalahan tersebut, Mohd. Taufik berkata, ia mengambil kira faktor bahawa kejadian tersebut hanya melibatkan segelintir penyokong Kelantan dan perlawanan tersebut pula dianjurkan oleh FAM. FAM juga katanya, tidak mahu dilihat sebagai bersikap dendam dengan penyokong Kelantan.

“Pihak jawatankuasa tidak bersikap dendam walaupun banyak kes disiplin tahun ini melibatkan penyokong Kelantan. Kita rujuk mengikut satu kes ke satu kes.

“Tentang keselamatan pintu masuk stadium pula, tak boleh salahkan pihak keselamatan. Jumlah 1,600 anggota itu sudah ramai tapi jika penyokong itu sendiri tiada jati diri dan disiplin, mereka tetap berusaha cuba menyeludup barang terlarang ini,” jelasnya.

Mengenai angka denda yang tidak setimpal malah lebih rendah berbanding kerugian akibat kerosakan harta benda stadium, beliau berkata: “Kami tidak boleh menyamakan denda dengan nilai itu kerana perlu berlaku adil kepada pasukan berkenaan. Yang melakukan perkara itu hanyalah dari kalangan segelintir penyokong mereka sedangkan majoritinya tidak begitu.”

KAFA akan diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap denda RM50,000 itu yang berkuat kuasa semalam. Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa enggan mengulas lanjut tetapi akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat.

Mungkin penyokong Kelantan perlu berganding bahu dengan KAFA untuk mengatasi masalah denda ini dengan menghulurkan sedikit bantuan kewangan serta berjanji mendisiplinkan diri ketika menyaksikan perlawanan bola sepak terutama membabitkan pasukan The Red Warriors.

About the Author

Berita Bola has written 109 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2009 Berita Bola Terkini. All rights reserved.
Powered by Sokernet.com, Berita Bola Terkini and Info Bola Sepak Teams.