Benitez tidak bimbang ura-ura dipecat

PENGURUS Liverpool, Rafael Benitez menegaskan dia tidak takut dipecat biarpun selepas menyaksikan pasukannya mengalami kekalahan ketujuh dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangan pasukan tercorot ketika ini, Portsmouth.

Pemain tengah, Javier Mascherano dibuang padang buat kali ketiga sepanjang bersama Liverpool ketika harapan kabur pelawat untuk meraih gelaran terus terpadam selepas tewas 2-0 di Fratton Park. Liverpool bukan saja hanya menang empat daripada 12 perlawanan liga, malah bergelut untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas yang menawarkan tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Ketika ditanya sama ada dia risau mengenai masa depannya, Benitez berkata: “Saya tidak bimbang dan bersedia menghadapi kemungkinan itu. Saya tidak risau (tetang kemungkinan dipecat) dan satu-satunya perkara yang bermain di fikiran saya sekarang ialah tentang perlawanan selepas ini (menentang wolves)”.

“Saya hanya boleh memberi tumpuan kepada pertemuan tersebut. Jika kami boleh menang, harapnya ia akan memudahkan tugas kami mengharungi perlawanan seterusnya. Kami perlu bersatu dan cuba mengutip tiga mata. Selepas itu kita lihat apa yang terjadi.”

Menurutnya, soal pemecatan tiada dalam pemikirannya ketika ini kerana ia adalah hak pemilik kelab. Meskipun pelbagai khabar angin melanda Anfield ketika ini, tetapi Benitez tetap memberi tumpuan dengan tugasnya.

Selepas kekalahan demi kekalahan yang dialami Liverpool ketika ini, sebahagian besar penyokong mereka menjangkakan Benitez akan dipecat.

“Jika pemilik merasakan kamu perlu dipecat, mereka akan bertindak. Saya sudah bersedia dan perkara seperti ini memang biasa dalam mana-mana kelab,” tegasnya.

Dalam aksi menentang Portsmouth, Liverpool ketinggalan menerusi jaringan Nadir Belhadj dan seperti yang berlaku pada 26 Disember lalu, Mascherano dibuang padang ketika permainan menghampiri separuh masa pertama.

Pemain tengah Argentina itu dilayangkan kad merah oleh pengadil Lee Mason kerana melakukan terjahan terhadap pemain tengah Portsmouth, Tal Ben Haim di bahagian tengah padang.

Benitez berang dengan keputusan itu dan memberi komen berbentuk sindiran terhadap Mason pada sidang akhbar selepas perlawanan.

“Saya sudah melihat ulang tayang dan ia bukan penyingkiran pemain tapi pengadil cukup sempurna. Dia tidak membuat sebarang kesilapan. Keputusannya tidak memberi hukuman kerana menjatuhkan Fernando Torres adalah tepat. Dia cukup sempurna,” katanya.

About the Author

Sokernet has written 67 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2009 Berita Bola Terkini. All rights reserved.
Powered by Sokernet.com, Berita Bola Terkini and Info Bola Sepak Teams.