Final Piala Malaysia 2009 bakal nobat juara baru
- Friday, November 6, 2009, 19:49
- Piala Malaysia
- 53 views
- Add a comment
DUA jurulatih berpengalaman yang pernah membimbing dua pasukan bekas juara, K Devan dan Mohd Azraai Khor Abdullah membayangkan Kelantan memiliki ramuan mantap untuk memenangi aksi Final Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok (Sabtu).
Jika ia menjadi kenyataan maka final kali ini bakal menobatkan juara baru Piala Malaysia memandangkan pasukan negeri dari Pantai Timur itu belum pernah menjulang Piala Malaysia, sedangkan lawannya, Negeri Sembilan pernah muncul juara sekali pada 1948.
Begitu pun dengan nama barunya Piala Malaysia kedua-dua pasukan berkenaan belum pernah bergelar juara dan pastinya final esok menjanjikan saingan sengit dan penuh aksi menarik kerana masing-masing ingin melakar sejarah tersendiri buat peminat dan penyokong masing-masing.
Jurulatih Selangor, K Devan memilih Kelantan akan muncul sebagai juara berikutan mereka mempunyai pemain seperti Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin yang mampu untuk menentukan perlawanan.
Manakala Mohd Azraai yang kini menjadi Jurulatih Harimau Muda juga meramalkan Kelantan akan memenangi perlawanan esok, kerana memiliki gandingan serangan yang mantap terutamanya Indra, Khalid Jamlus, Norfarhan dan juga Che Hishamuddin Hassan.
“Negeri Sembilan pula dilihat hanya mengharapkan kepada kemampuan Zaquan Adha Abdul Radzak,” kata bekas jurulatih Kedah itu.
Jurulatih KM Naza, Mohd Nizam Adha Yusof turut memilih Kelantan akan muncul sebagai juara dengan jaringan 2-1, ia berdasarkan semangat juang dan kepakaran B Sathianathan dalam merancang taktikal permainan.
Walaupun Kelantan bakal mendapat sokongan padu daripada peminat fanatik mereka dalam saingan akhir Piala Malaysia esok tetapi pakar bola sepak menganggap Negeri Sembilan juga mempunyai peluang.
Para jurulatih tempatan dalam Liga Malaysia yakin kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dalam saingan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Bagi mereka, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri dan ini diakui Jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim.
“Saya rasa kalau mana-mana pasukan menang pun mereka hanya akan mencatat kemenangan tipis mungkin 2-1 atau 1-0 tetapi saya berat kepada Negeri Sembilan kerana mereka mempunyai kekuatan yang sempurna di setiap posisi,” katanya.
Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid memilih Negeri Sembilan kerana pasukan itu sentiasa konsisten sepanjang saingan peringkat kumpulan musim ini.
“Bagaimanapun kedua-dua pasukan berjaya mencapai tahap prestasi pada masa yang tepat,” katanya yang meramalkan Negeri Sembilan menang 2-1.
Jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris berkata: “Saya memilih Negeri Sembilan akan muncul juara dengan jaringan 2-1, mereka mempunyai kekuatan yang stabil di setiap posisi berbanding Kelantan yang hanya mengharapkan sokongan padu peminat mereka.”
Bagi pengendali Kuala Lumpur, Razip Ismail, kedua-dua pasukan dianggapnya mempunyai peluang seimbang tetapi kelebihan milik Negeri Sembilan kerana mempunyai ramai bekas dan pemain kebangsaan.
Sementara itu Jurulatih Pahang, Dollah Salleh menggangap kekuatan kedua-dua pasukan ialah 50-50 dengan Negeri Sembilan dilihat utuh dari setiap posisi manakala Kelantan akan bergantung kepada sokongan padu penyokong mereka.
About the Author
Write a Comment
Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!