Barisan muda Arsenal pamer watak juara
- Friday, November 6, 2009, 22:07
- Arsenal, Liga Juara Eropah
- 74 views
- Add a comment
ARSENE Wenger percaya barisan muda Arsenal bakal digeruni lawan selepas menyaksikan anak buahnya membelasah AZ Alkmaar 4-1 sekali gus semakin hampir untuk layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.
Selepas dikatakan bakal mengharungi musim suram akibat penjualan Emmanuel Adebayor dan Kolo Toure kepada Manchester City, skuad bimbingan Wenger itu kini kelihatan semakin bertenaga untuk menamatkan kemarau empat musim tanpa sebarang gelaran.
Barisan The Gunners mengetepikan kelab juara Belanda, Alkmaar dengan gaya yang cukup dramatik di Stadium Emirates awal pagi semalam dan mereka hanya memerlukan satu mata daripada baki dua perlawanan Kumpulan H menentang Standard Liege dan Olympiakos untuk layak ke kelompok 16 pasukan terakhir.
Cesc Fabregas menjaringkan gol pembukaan buat The Gunners sebelum Andrey Arshavin mencuri tumpuan dengan mencipta peluang gol untuk Samir Nasri, Fabregas dan juga Abou Diaby.
Ketika Wenger mengakui cabaran lebih getir menanti pasukannya dalam peringkat kalah mati, beliau bagaimanapun gembira dengan persembahan meyakinkan yang ditonjolkan pasukan mudanya.
“Saya percaya pasukan kami semakin kuat daripada satu perlawanan kepada yang lain. Adalah penting untuk mengekalkan semangat sebegitu, Pertandingan ini akan menjadi semakin sukar selepas ini tetapi saya yakin kami mempunyai kualiti yang cukup untuk menanganinya. Sebelum musim ini bermula, saya pernah berkata bahawa saya yakin dengan pasukan ini tetapi terpulang kepada kami untuk terus konsisten.
“Kami perlu percaya dan yakin dengan masa depan kami. Ketika ini, sukar untuk meramal sejauh mana kami akan pergi. Kami perlu menumpukan perhatian kepada permainan kami dan cuba sebaik mungkin. Kami perlu memikirkan corak permainan yang bagaimana kami mahukan. Kami perlu beraksi seperti kami sayangkan sukan ini dan kami perlu terus mempamerkan bakat yang kami ada.”
Dengan Cesc Fabregas, Andrey Arshavin serta Robin van Persie berganding baik selain dibantu pergerakan Eduardo, Tomas Rosicky dan Theo Walcott, adalah tidak mengejutkan apabila pengurus Gunners itu mengharapkan sesuatu yang lebih gemilang.
Fabregas membuka jaringan sebelum ditambah pemain tengah Perancis, Samir Nasri. Fabregas meledak gol peribadi keduanya selepas rehat manakala Abou Diaby menjaringkan gol keempat Arsenal. Cubaan lewat babak oleh Jeremain Lens menghasilkan gol sagu hati buat pelawat.
About the Author
Write a Comment
Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!