PRESIDEN Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Mohamed Hammam menolak untuk membida jawatan Presiden FIFA tahun depan, sekali gus membuka pintu buat Sepp Blatter mengendalikan badan bola sepak dunia itu untuk tempoh empat tahun lagi.
Pemimpin berusia 61 tahun dari Qatar itu dilihat sebagai pengganti kepada Blatter, 74, dari Switzerland dan merupakan antara individu yang berpotensi menggantikan beliau.
“Saya tidak akan bertanding pada pemilihan FIFA yang seterusnya. Saya akan menyokong Sepp Blatter untuk kekal dengan mandat baru,” kata Bin Hammam.
Keputusan untuk tidak bertanding itu, menyamai tindakan Michel Platini pada awal tahun ini. Tokoh dari Perancis itu, yang sebelum ini dipertimbangkan sebagai antara calon pencabar, sebaliknya mahu menjadi Presiden UEFA buat penggal kedua.
Bin Hammam, ahli jawatankuasa eksekutif FIFA mahu dipilih semula sebagai presiden AFC tahun depan.
“Sasaran saya ialah untuk bertanding pada pemilihan Presiden AFC yang akan datang pada 2011. Saya harap akan mendapat penuh sokongan daripada semua persatuan bola sepak kebangsaan,” katanya.
Pemimpin dari Qatar itu, yang dilihat sebagai individui yang membawa pemodenan, dipilih sebagai ketua AFC sejak 2002. Dia memperkenalkan Liga Juara-Juara AFC serta kemasukan Australia ke dalam konfederasi Asia.
Selepas 12 tahun, Blatter menjelaskan dia tiada cadangan untuk berundur, apabila penggal perkhidmatannya berakhir pada 11 Januari 2011, dengan alasan misinya belum selesai.
Tags: FIFA, Mohamed Hammam, Sepp Blatter