30,000 penonton penuhi stadium saksikan aksi final Perlis-Kedah
- Tuesday, December 29, 2009, 3:36
- Piala Emas Raja-Raja
- 108 views
- Add a comment
AKSI Final Piala Emas Raja-Raja antara Kedah dan Perlis yang berlangsung di Stadium Darulaman malam tadi mencatat senario baru bola sepak tempatan (selain Liga Malaysia dan Piala Malaysia) apabila disaksikan 30,000 penonton yang memenuhi segenap penjuru stadium.
Perlawanan akhir berkenaan turut disaksikan Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Malik Mu’adzam Shah; Puteri Sultan Kedah, Tunku Datuk Seri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Penasihat Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Tan Sri Rozali Ismail dan Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan.
Bagaimanapun aksi malam tadi sedikit terganggu dengan layangan tiga kad merah oleh pengadil perlawanan, Mohd Nazer Mohd Said.
Pemain yang menerima kad merah ialah dua pemain Perlis, Romdhizat dan Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman serta kapten Kedah, Mohd Fazliata Taib.
Insiden ‘panas’ bermula pada minit ke-84 apabila berlaku tolak menolak antara pemain kedua-dua pasukan di kawasan gol Perlis.
Keadaan itu turut menyebabkan puluhan penyokong tuan rumah cuba masuk padang, namun dapat dikawal oleh pihak polis. Aksi yang terhenti 10 minit itu kemudian disambung semula tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Pada aksi final malam tadi, Perlis menjulang Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 setelah menewaskan Kedah 2-0 dengan kedua-dua gol terhasil pada babak pertama perlawanan.
Gol kemenangan Perlis dihasilkan menerusi Romdhizat Jamian seawal minit keempat dan Adrien Jurad Chamrong (minit ke-18) yang turut diisytiharkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.
Kedah yang ghairah menyerang sebaik permainan bermula dikejutkan dengan gol awal pelawat menerusi Romdhizat. Gol tersebut berpunca hasil sepakan sudut Mohd. Ikmal Faiz Azmi yang gagal ditolak keluar barisan pertahanan Kedah, sekali gus memberi peluang Romdhizat merembat kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Khairul Azuan.
Skuad Hijau Kuning yang cuba bangkit dikejutkan sekali lagi dengan gol kedua pelawat pada minit ke-18 menerusi sepakan percuma Adrien Jurad dari jarak 25 meter.
Skuad Kedah yang semakin terdesak membuat beberapa pertukaran termasuk membawa masuk penyerang Tan Yang Wei pada babak kedua.
Namun, percaturan pengendali Kedah, Mohamad Ramlee gagal memecah benteng Perlis yang diterajui Adrien Jurad dan penjaga gawang, Mohd Izwan Ahmad.
About the Author
Write a Comment
Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!