Selangor makin dicemburui lawan

SELANGOR bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk meraih kemenangan 4-1 ke atas Perak, dalam saingan Liga Super yang disambung semula di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan bergaya itu mengukuhkan kedudukan pasukan Red Giants di tangga teratas carta Liga Super di samping menjarakkan diri di depan pencabar terdekatnya, Terengganu yang tidak beraksi malam tadi.

Dengan Terengganu dan pasukan elit lain hanya akan beraksi malam ini, tiga mata penuh itu meletakkan Selangor unggul dengan 26 mata, namun ia dapat dipadamkan Terengganu yang memiliki dua perlawanan dalam tangan dan bertandang ke Johor untuk berdepan Johor FC malam ini.

Beraksi tanpa kapten dan perancang tengah, Mohd Amri Yahyah, Selangor sedikit pincang dengan Perak yang terlebih dulu membuka jaringan menerusi gerakan solo Muhammad Nazri Mohd Kamal.

Menerima hantaran daripada K Nanthakumar, Muhammad Nazri bertindak bijak memperdayakan pertahanan Selangor sebelum merembat rendah melepasi penjaga gol, Mohd Iqbal Suhimi pada minit ke-35.

Bunyamin Omar memberikan amaran kepada pelawat apabila menggegarkan gawang yang dikawal Megat Amir Faisal Al Khalidy menerusi tandukannya yang singgah ke palang, namun jaringan penyamaan Selangor gagal dibendung pada minit ke-37.

Safee Sali mudah menolak masuk hantaran lintang Amirulhadi Zainal dari sayap kanan untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum babak pertama berakhir.

Gergasi Merah menggandakan asakan pada babak kedua dengan Safiq Rahim bijak mencari ruang kosong gawang untuk menewaskan penjaga gol Megat Amir Faisal pada minit ke-78 sebelum kemasukan supersub R Surendren menjelmakan dua jaringan peribadi pada minit ke-84 dan sepakan penalti seminit sebelum tamat.

About the Author

Berita Bola has written 157 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2010 Berita Bola Terkini. All rights reserved. Powered by Sokernet Team: Sokernet.com | Liga Malaysia | Berita EPL and Piala Dunia 2010.