Sathia: Silap jika anggap KL lawan mudah

REPUTASI juara Piala FA, Negeri Sembilan telah pun dicalar oleh Kelantan. Baru sahaja mendakap Piala FA seminggu lalu, keegoan Negeri Sembilan akhirnya runtuh apabila Kelantan berjaya membalas dendam dengan kemenangan 3-1.

Sama seperti ulangan perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu, tetapi kali ini keputusan akhir berpihak kepada The Red Warriors.

Malam ini, giliran Kelantan meneruskan rentak kecemerlangan memburu kemenangan keenam dalam aksi liga. Lawan yang menanti, skuad warga kota yang kini mencuri perhatian apabila berada di tangga pertengahan liga setakat ini.

Rekod terakhir pertemuan Kelantan dengan Kuala Lumpur ialah pada aksi perlawanan Liga Perdana tahun 2008.

Di Kota Bharu, Kelantan membelasah Kuala Lumpur dengan kemenangan 4-1. Sementara perlawanan ulangan di Cheras menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Dibimbing oleh Razip Ismail, skuad Kuala Lumpur musim ini rata-rata dibarisi hampir keseluruhan pemain baru.

Razip Ismail masih lagi diberi kepercayaan oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk terus membimbing skuad warga kota selepas dinaik taraf bermain dalam Liga Super musim ini.

Dibantu oleh penolong jurulatih, Tan Siew Seng, pemain yang bersama Razip membantu Kuala Lumpur merangkul tiga Piala Malaysia, ternyata dua gandingan ini cukup serasi membimbing skuad warga kota ini.

Bagi pengendali Kelantan, B Sathianathan tetap menganggap semua pasukan yang beraksi dalam Liga Super musim ini adalah kuat dan seimbang.

Kemenangan bermaruah 3-1 ke atas Negeri Sembilan hujung minggu lalu pasti menaikkan moral pemain Kelantan.

Walaupun ramai peminat bola sepak Kelantan tidak memberi harapan kepada Red Warrior’s untuk menang di Paroi, tetapi anak buah Sathianathan membuktikan tanggapan tersebut adalah sebaliknya.

Jaringan Indra Putra Mahayuddin, Mohd Daudsu Jamaluddin dan pemain gantian, Muhd Badhri Radzi memastikan Kelantan membawa pulang tiga mata berharga.

Aksi cemerlang, Khairul Fahmi Che Mat tidak memungkinkan dia berada dibangku simpanan lagi. Sebaliknya Sathianathan terus memberi kepercayaan kepada Khairul Fahmi untuk terus berada dalam kesebelasan utama malam ini.

Posisi pertahanan Kelantan yang kebal setakat ini bolos hanya empat gol daripada sepuluh perlawanan membuktikan pertahanan Kelantan adalah yang terbaik musim ini.

Tunjang kekuatan berpaksi kepada kehebatan rangkaian Azizi Matt Rose, Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam dan Zairrul Fitree Ishak bagi memastikan gawang Kelantan tidak bocor malam ini.

Semua itu tidak merisaukan Sathianathan bersama dua pembantunya, Hashim Mustapha dan Sideek Shamsuddin apabila membuat percaturan pada posisi itu.

Jentera tengah hampir pasti diisi oleh ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Mohd Shakir Shaari.

Indra nampak gayanya sudah menemui semula sentuhan jaringannya setelah begitu lama ‘kemarau’ sebelum ini.

Manakala prestasi Muhd Badhri Radzi, pemain gantian yang menjaringkan gol ketiga sewaktu pertemuan dengan Negeri Sembilan tempohari sedikit melegakan Sathianathan apabila berupaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Sandaran utama jentera serangan Kelantan tentunya kepada penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha. Biarpun diletakkan keseorangan dibahagian hadapan, beliau tetap mencetuskan ‘ribut’ kepada mana-mana pertahanan lawan.

Hairuddin Omar telah pun selesai menjalani pergantunggan perlawanan. Tetapi persaingan merebut satu lagi posisi jentera serangan pasti tertumpu kepada percaturan sama ada meletakkan pemain lipas kudung, S Chanturu mahupun Mohd Nizab Ayub atau Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Bagi Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan tidak pernah mengganggap pertemuan dengan Kuala Lumpur ini se-suatu yang mudah buat pemain Kelantan.

Mereka tidak harus melihat Kelantan berada zon yang selesa apabila melayan kunjungan pasukan kerdil seperti Kuala Lumpur.

Bagi pemain Kelantan, amaran awal jurulatih mereka bahawa semua pasukan yang beraksi dalam Liga Super adalah kuat dan seimbang harus dilihat daripada sudut positif.

Walaupun di atas kertas, ramai beranggapan kelebihan berpihak kepada Kelantan, tetapi itu bukan jaminan mutlak untuk kita mencatatkan kemenangan mudah ke atas Kuala Lumpur.

Pasti akan ada tentangan sengit daripada skuad warga kota ini apabila turun berhadapan dengan puluhan ribu penyokong setia The Red Warrior’s di stadium keramat malam ini.

B Sathianathan mungkin boleh menerima kritikan pedas penyokong Kelantan yang dilemparkan terhadap beliau sebelum ini rentetan prestasi sederhana pemain Kelantan dalam aksi terdahulu.

Tetapi Sathianathan tidak pernah menidakkan bahawa penyokong Kelantan antara penyokong bola sepak yang terbaik dalam Liga Malaysia setakat ini.

Justeru sokongan padu penyokong setia Kelantan pastinya dituntut bagi memenuhkan kembali Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, setelah sekian lama sepi dengan gegak gempita sejak enam minggu yang lalu.

About the Author

Berita Bola has written 157 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2010 Berita Bola Terkini. All rights reserved. Powered by Sokernet Team: Sokernet.com | Liga Malaysia | Berita EPL and Piala Dunia 2010.