Monday, 13/12/2010

Liga Juara: 16 pasukan mara ke pusingan kedua

Published on December 9, 2010 by admin   ·   No Comments

Liga Juara Eropah

Arsenal, AS Roma antara pasukan terakhir mara

ARSENAL dan AS Roma melengkapkan pusingan 16 pasukan selepas berjaya menundukkan lawan masing-masing dalam misi wajib menang.

Mendapat sokongan padu di Stadium Emirates, The Gunners kini boleh menghela nafas lega apabila melepasi ranjau Kumpulan H dengan menjinakkan Partizan Belgrade 3-1.

Arsenal memulakan kempen dengan meyakinkan, namun keputusan hambar dalam dua perlawanan terakhir meletakkan mereka dalam keadaan wajib menang untuk layak ke peringkat kalah mati selepas terikat sembilan mata dengan Braga.

Kemenangan Arsenal itu tidak datang dengan mudah, mendahului 1-0 hasil sepakan penalti Robin van Persie, tuan rumah sempat cemas apabila gawang mereka digegarkan dengan jaringan penyamaan Cleo.

Namun keresahan Arsenal yang menguasai sebahagian besar perlawanan ditenangkan dengan jaringan Theo Walcott sebelum Samir Nasri mengukuhkan kedudukan mereka.

Di penghujung perlawanan, Bacary Sagna dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan di luar kotak penalti.

Arsenal berada di kedudukan kedua di belakang Shakhtar Donetsk yang menewaskan Braga untuk mengumpul 15 mata.

Di Munich, juara 2000, Bayern Munich menundukkan Basel 3-0 hasil dua gol sumbangan Franck Ribery. Kemenangan Bayern itu cukup penting kerana secara tidak langsung membantu AS Roma untuk muncul naib juara Kumpulan E.

AS Roma yang berkunjung ke Romania sekadar mencatatkan seri 1-1 dengan CFR Cluj.

Dalam aksi Kumpulan F, rekod bersih Chelsea dalam kempen Eropah musim ini tercalar dengan kekalahan 1-0 kepada Marseille.

Meskipun kedua-dua pasukan sudah pun mengesahkan tiket, perlawanan ini memberi makna sendiri buat jurulatih The Blues, Carlo Ancelotti untuk mencari tonik terbaik buat anak-anak buahnya bangkit berikutan beberapa siri keputusan yang tidak memberansangkan kebelakangan ini.

Perlawanan diantara MSK Zilina dan Spartak Moscow yang berkesudahan 1-2 sekadar pelengkap jadual.

Ketiadaan Jose Mourinho di bangku simpanan tidak menjejaskan semangat Real Madrid untuk berpesta gol 4-0 ke atas Auxerre.

Sentuhan Karim Benzema bersama Real Madrid semakin menjadi dengan hatrik yang diledakkannya dan satu gol sumbangan Ronaldo.

Tanpa Xabi Alonso dan Sergio Ramos kerana digantung, Real Madrid melakukan beberapa perubahan termasuk melantik Mahamadou Diarra yang bermain di bahagian tengah sebagai kapten pasukan.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G, buah tangan pertama Frank de Boer berakhir dengan keputusan positif apabila Demy de Zeeuw dan Toby Alderweireld masing-masing menyumbat gol untuk mengejutkan AC Milan 2-0 di San Siro.

Keputusan itu bagaimanapun tidak menjejaskan Milan untuk mengiringi Real ke puisngan berikutnya.

Senarai 16 pasukan ke pusingan kalah mati Liga Juara Eropah:

=> Kump A: Tottenham & Inter Milan
=> Kump B: Schalke & Lyon
=> Kump C: Man U & Valencia
=> Kump D: Barca & Copenhagen
=> Kump E: Bayern & AS Roma
=> Kump F: Chelsea & Marseille
=> Kump G: Real Mdrid & AC Milan
=> Kump H: Shakhtar & Arsenal

Tags:

Readers Comments (0)




Join Sokernet.com @ Facebook

Berita Berkaitan

Berita Terkini

Hak Cipta © 2010 Sokernet.com | Portal Bola Sepak Terunggul Di Malaysia.