Wenger bidas aksi bek Birmingham
- Tuesday, October 20, 2009, 9:39
- Arsenal, Liga Perdana Inggeris
- 68 views
- Add a comment
TERJAHAN keras Liam Ridgewell ke atas pemain sayap kiri Arsenal, Theo Walcott dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lepas menaikkan kemarahan pengurusnya, Arsene Wenger yang menyelar tindakan pemain pertahanan Birmingham City itu.
Walcott diasak teruk oleh Ridgewell pada separuh masa pertama ketika membantu Gunners mencatat kemenangan 3-1 ke atas Birmingham di Stadium Emirates.
Asakan keras daripada Ridgewell itu berpotensi menyebabkan Walcott berhadapan kecederaan lutut yang serius.
Pemain kebangsaan England itu rebah setelah Ridgewell merempuhnya dengan keras.
Namun Walcott berjaya untuk bangun kembali dan mendapatkan bola, tetapi dia kemudiannya diasak lagi dari belakang di bahagian kaki.
Pemain sayap Arsenal itu masih meneruskan permainan selama 20 minit, sebelum dikeluarkan.
Dia akan menjalani ujian imbasan hari ini bagi memastikan tahap kecederaan yang dialaminya itu.
Wenger merasakan kecederaan Walcott itu berkemungkinan tidak melibatkan kerosakan ligamen yang teruk, tetapi masih bimbang jika pemain sayap harapannya itu terseliuh ligamen tengah.
Jika kecederaan tersebut berlaku, ia mungkin memaksa Walcott terlepas peluang beraksi menentang AZ Alkmaar untuk persaingan Liga Juara-Juara yang berlangsung esok.
Lebih memeritkan, Walcott mungkin terpaksa diketepikan daripada skuad utama untuk tempoh beberapa minggu.
“Lututnya (Walcott) lebam dan membengkak. Ia merupakan satu kecederaan yang sukar untuk diketahui sama ada ligamen tengah terseliuh atau sekadar kesan daripada sepakan.
“Walcott menyatakan bahawa dia tidak stabil ketika membuat larian. Ia satu perkhabaran yang tidak baik.
“Kami akan hanya mengetahuinya pada pagi esok (hari ini) apabila dia menjalani ujian imbasan.
“Jika ia sekadar kesan daripada sepakan pemain lawan, dia mungkin boleh bermain Selasa ini. Namun jika ia melibatkan terseliuh, dia mungkin tidak dapat beraksi.
“Secara peribadi, saya percaya dia tidak akan boleh bermain Selasa ini. Terjahan yang diterimanya adalah keras dan tidak ada sebarang sekatan.
“Saya berasa benar-benar simpati kepadanya. Kejadian itu berlaku dengan pantas dan keras dari luar. Saya tidak tahu jika dia (Ridgewell) tidak mahu bermain bola sepak,” kata Wenger.
About the Author
Write a Comment
Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!