Inter Milan melangkah ke final

EMOSI mengiringi kemaraan Inter Milan ke pentas final Liga Juara-Juara Eropah apabila kelab Itali itu menyingkirkan juara bertahan, Barcelona menerusi aggregat 3-2 selepas mengharungi 90 minit aksi penuh mendebar di Nou Camp, awal pagi tadi.

Selepas perlawanan berlangsung selama 28 minit, pemain Inter Milan dikerah beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh sejam berikutnya apabila tonggak tengah, Thiago Motta dilayangkan kad merah kerana melayangkan tangan ke muka Sergio Busquets.

Namun skuad bimbingan Jose Mourinho berjaya menyerap asakan bertubi pasukan tuan rumah yang menguasai lebih 80 peratus perlawanan berkenaan sehingga minit ke-84 apabila gawang Inter bolos oleh jaringan Gerrard Piquet.

Namun tiada apa yang mampu dilakukan jentera serangan Barca sehingga berakhir 90 minit perlawanan selain tangisan duka gagal mempertahankan kejuaraan musim lalu.

Inter Milan menguasai kancah Serie A, namun gagal melangkah ke final kejuaraan kelab Eropah sejak kali terakhir melakukannya pada 1972, kini berpeluang mengukir sejarah baru kelab itu di bawah bimbingan jurulatih penuh kontroversi, Jose Mourinho.

Aksi final dijadualkan berlangsung di Santiago Bernabeu pada Sabtu, 22 Mei nanti (23 Mei waktu Malaysia). Memecah tradisi final Liga Juara yang kebiasaannya berlangsung pada hari Rabu.

Lawan Inter Milan pada aksi final berkenaan ialah gergasi Jerman, Bayern Munich yang terdahulu menewaskan wakil Perancis, Lyon 3-0 pada aksi sehari lebih awal. Bayern mara ke final dengan aggregat 4-0 selepas menang 1-0 perlawanan pertama di tempat lawan.

About the Author

Berita Bola has written 157 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!

Copyright © 2010 Berita Bola Terkini. All rights reserved. Powered by Sokernet Team: Sokernet.com | Liga Malaysia | Berita EPL and Piala Dunia 2010.