SPARTAK Moscow harus mengelak perasaan gentar jika mahu menghalang Chelsea daripada menempah tiket awal ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah, ujar jurulatihnya, Valery Karpin.

Kemenangan 2-0 yang dirakam kelab London itu ketika bertandang di Moscow sebelum ini memastikan mereka bakal dijamin dua kedudukan teratas Kumpulan F jika menang.

“Kami beraksi lebih baik selepas rehat berbanding babak pertama dalam perlawanan pertama di Moscow. Kami agak takut dengan lawan kerana pemain terlalu menghormati mereka.

“Bagaimanapun jika kami dapat mengulangi prestasi baik babak kedua esok, sudah tentu kami berpeluang,” kata Karpin.

Spartak menghuni tangga kedua Kumpulan F ketika ini, tiga mata di belakang Chelsea yang memiliki sembilan mata maksimum.

Mereka hanya memiliki rekod cemerlang dalam liga domestik, termasuk menumpaskan pendahulu, Zenit St. Petersburg 2-1, sebelum menumpaskan Rostov hujung minggu lalu.

Chelsea pula terus garang baik dalam liga domestik mahupun Eropah, sekali gus membuka ruang buat anak-anak buah Carlo Ancelotti melangkah ke peringkat kalah mati lebih awal ketika saingan masih berbaki tiga perlawanan.

Bermakna, skuad Blues boleh merehatkan beberapa tonggak utama dalam dua baki saingan jika misi awal sudah dicapai.

Chelsea akan kembali diperkuatkan oleh Didier Drogba selepas kehilangan penyerang Ivory Coast itu dalam tiga perlawanan kumpulan kerana digantung dan kecederaan.

Frank Lampard pula belum bersedia diturunkan walaupun mungkin disenaraikan berdepan Liverpool hujung minggu ini.

Malah, aksi di Stamford Bridge, hari ini juga tanpa kelibat pemain sayap Perancis, Florent Malouda yang mengalami kecederaan buku lali.

Turut terlepas saingan adalah Jose Bosingwa yang mengalami masalah kesihatan. Namun, kecederaan tonggak utama itu dijangka tidak memberi kesan besar kepada Chelsea untuk mencari kemenangan di laman sendiri.




coded by nessus

Main topics: Liga Juara Eropah

Sub topics: , , ,


Readers Comments (0)