Misi peribadi MU, Chelsea
SUDAH hampir sedekad Manchester United tidak menang di Stamford Bridge menentang Chelsea dan barisan pimpinan Alex Ferguson ghairah mahu menamatkan kemarau panjang itu apabila dua kelab gergasi Inggeris tersohor itu bertembung dalam saingan suku akhir pertama, Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok.
Tidak dinafikan dua tonggak skuad England - John Terry dan Wayne Rooney - boleh menjadi penentu ketika ia menemukan antara pertahanan dan penyerang terbaik dalam Liga Perdana Inggeris.
Minda Rooney mungkin terganggu gara-gara penggantungan dua perlawanan tetapi pemain berusia 25 tahun itu sentiasa dahagakan kejayaan di pentas besar dan Terry mengerti betapa sukar menyekat ayam tambatan Red Devils itu pada hari terbaiknya.
Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti pula tampak tertekan kerana jawatannya mungkin hilang andai gagal memenangi sebarang trofi musim ini, tambahan penyerang termahal mereka, Fernando Torres belum lagi menemui jaringan selepas hadir dengan reputasi pemain yang bernilai 50 juta pound (RM255 juta).
Gergasi Sepanyol, Barcelona juga akan berdepan ujian di gelanggang sendiri apabila menentang Shakhtar Donetsk dengan penyerang, David Villa bertekad menamatkan kemarau jaringan.
Luahan Perasaan