Chelsea atasi Arsenal 2-0

JUARA bertahan Liga Perdana Inggeris, Chelsea semakin selesa berada di tangga teratas apabila mencatat kemenangan berharga 2-0 ke atas Arsenal dalam saingan di Stamford Bridge, malam tadi.

Tiga mata yang diraih meletakkan barisan Carlo Ancelotti megah di persada liga dengan 18 mata, tetapi berdepan cabaran baru daripada pesaing terdekat Manchester City yang turut merakam kemenangan, selepas pencabar lalu Manchester United sekadar mencatat seri tanpa jaringan dengan Sunderland, kelmarin.

Didier Drogba menemui semula sentuhan jaringan apabila meletakkan Blues di depan pada minit ke-39 dan dalam keghairahan Arsenal cuba mencari penyamaan, sepakan percuma kencang Alex pada minit ke-85 menamatkan cabaran Gunners.

Sebelum itu, prestasi Liverpool, juara liga 18 kali, terus menjadi persoalan musim ini apabila menanggung kekalahan kali kedua berturut-turut, kali ini di gelanggang sendiri kepada muka baru Blackpool 1-2.

Selepas tewas kepada Manchester United minggu lalu, barisan Roy Hodgson dijangka mudah mengutip mata di Anfield untuk keluar daripada zon bahaya tetapi Blackpool mengejutkan Reds dengan dua gol di babak pertama menerusi sepakan penalti Charlie Adams pada minit ke-29 sebelum Luke Varney mengukuhkan kedudukan di hujung babak pertama.

Kapten Liverpool, Gerrard, seperti lazimnya cuba membantu kebangkitan pasukan dan sepakan percumanya ditanduk masuk pertahanan, Sotirios Kyrgiakos pada minit ke-53 tetapi penjaga gol Blackpool, Matt Gilkes bertindak kemas memastikan kelebihan itu bertahan hingga tamat.

Terdahulu, pemain sayap England, Adam Johnson yang dimasukkan dari bangku simpanan menjaringkan gol kemenangan Manchester City untuk menundukkan Newcastle 2-1, menerusi jaringan sudut sukar pada minit ke-75.

Jaringan penalti Carlos Tevez pada minit ke-18 dipadamkan Newcastle yang menyamakan kedudukan pada minit ke-24 oleh Jonas Gutierrez dari jarak dekat, namun pelawat tertekan sejak awal selepas Hatem Ben Arfa terpaksa diusung keluar seawal minit ketiga hasil rempuhan keras Nigel de Jong.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>