Kayuhan bertenaga Azizulhasni, Josiah hampakan China

Azizulhasni, Josiah Ng menang emas dan perak acara Keirin Sukan Asia 2010

DUA pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Josiah Ng meraih kemenangan 1-2, selepas merangkul pingat emas dan perak dalam acara Keirin Lelaki akhir yang berlangsung di Velodrom Guangzhou tengah hari tadi. [LIHAT VIDEO]

Dalam acara lapan pusingan di trek sepanjang 250 meter itu, Azizulhasni mengetuai tujuh pelumba lain pada empat pusingan awal sebelum pelumba China, Zhang Lei menjadi pendahulu.

Namun kemalangan yang melibatkan Zhang Lei dan pelumba Iran, Mohamad Parash membolehkan Azizulhasni kembali mendahului, diikuti rapat oleh Josiah dan seorang lagi pelumba tuan rumah yang juga adik Zhang Lei iaitu Zhang Miao.

Pada pusingan akhir, kedua-dua pelumba Malaysia itu tidak memberi ruang kepada Zhang Miao untuk memotong mereka bagi mengesahkan kemenangan 1-2 kepada Malaysia, sementara pelumba China itu mendapat gangsa.

Kemenangan itu juga membolehkan pelumba negara mengetepikan pelumba keirin nombor satu Asia dari Jepun, Kazunari Watanabe yang mendapat tempat keempat.

Kazunari bagaimanapun berlumba seorang diri kali ini tanpa rakan sepasukan untuk membantu.

Dalam acara terdahulu, Azizulhasni sekadar mendapat tempat keempat dalam penentuan pingat gangsa untuk acara Pecut 200m lelaki.

Dia yang bersaingan dengan pelumba Jepun, Nitta Yudai tewas dalam kedua-dua saringan, setiap satu tiga pusingan, dalam penentuan pingat gangsa.

“Saya tersilap taktik dengan mengejar Nitta dari awal dan gagal melakukan henjutan pada pusingan akhir,” katanya kepada pemberita di Guangzhou.

Dalam satu lagi acara yang melibatkan pelumba negara, Muhamad Adiq Hussaine Othman terlepas peluang mendapat gangsa apabila menduduki tempat keempat dalam acara Perlumbaan Mata (Lelaki).

Berada di kelompok utama lima pelumba dalam perlumbaan 120 pusingan atau 30km yang melibatkan keseluruhan 24 pelumba, Muhamad Adiq terpisah jauh bersama rakan sepasukan, Amir Mustafa Rusli.

Tanpa bantuan Amir Mustafa, Muhamad Adiq tersepit di antara pemenang pingat emas dari Uzbekistan, Vladimir Tuychiev, pelumba Hong Kong, Wong Kam Po (perak), dan pelumba Iran, Mehdi Sohrabi (gangsa).

Tuychiev mengumpul 71 mata, Kam Po (60), Mehdi (60) dan Muhamad Adiq (56).

“Saya yakin henjutan di beberapa pusingan akhir mampu mengatasi pelumba Iran itu jika mendapat bantuan rakan sepasukan.

Ini kerana Mehdi Sohrabi mendapat bantuan yang baik dari rakan sepasukannya Abbas Saeiditanha dari awal perlumbaan,” katanya.

Acara berbasikal trek yang bermula pada Sabtu lepas, menutup tirainya hari ini dan acara berbasikal lebuhraya akan bermula pada Sabtu sehingga Selasa ini.

Related Posts

2 Responses to Kayuhan bertenaga Azizulhasni, Josiah hampakan China

  1. Pingback: Azizulhasni menang emas Keirin Sukan Asia 2010 | Sokernet.com | Portal Berita Bola Sepak

  2. terbaik azizulhasni dan josiah ng…

    ~malaysia boleh~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>