SKUAD bola sepak kebangsaan hanya mempunyai 15 pemain untuk berdepan Iran pada aksi pusingan kedua Sukan Asia 2010 di Stadium Yuexiu, Guangzhou petang ini.
Daripada 20 pemain yang berada dalam skuad, dua pemain iaitu Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani telah mengalami kecederaan yang serius ketika menentang Kyrgyzstan pada perlawanan pertama 8 November lalu.
Tiga lagi pemain, Safiq Rahim, S Kunanlan dan Mahali Jasuli digantung perlawanan setelah mereka dilayangkan kad merah oleh pengadil kontroversi dari Australia, Ben Williams ketika skuad negara tewas 0-3 kepada China malam kelmarin.
Yang tinggal hanyalah kesebelasan utama dengan empat pemain simpanan termasuk penjaga gol kedua, Zamir Selamat.
Menurut jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, pertemuan dengan Iran bakal menjadi satu lagi tugas sukar berdasarkan masalah yang tidak henti-henti melanda skuad bimbingannya itu.
“Kita bukan saja mempunyai dua pemain yang cedera tetapi tiga lagi pemain digantung gara-gara kad merah. Saya sudah tiada pilihan.
“Jika penganjur membenarkan jurulatih untuk berada dalam senarai pemain, saya sendiri rela turun beraksi,” kata Rajagobal semalam.
Williams yang jelas melakukan pengadilan berat sebelah seharusnya dipersalahkan seandainya Malaysia tersingkir pada pusingan kedua kerana menyebabkan Safiq, Kunanlan dan Mahali tidak dapat beraksi petang ini.
Rajagobal terpaksa meletakkan Faizal Muhammad mengisi kekosongan Mahali di bek kanan, K. Gurusamy menggantikan Safiq untuk posisi tengah manakala Khyril Muhymeen Zambri menggantikan Kunanlan di bahagian sayap kiri.
Selain Zamir, pemain simpanan yang tinggal hanyalah tiga pemain Harimau Muda A iaitu Izzaq Faris Ramlan, Fandi Othman dan Gary Steven Robbat.
“Kita akan turun macam biasa saja, nikmati saingan Sukan Asia dan mencari pengalaman berdepan pasukan hebat di Asia ini. Saya tidak mahu menambah tekanan kepada pemain.
“Saya hanya kecewa dengan tindakan pengadil pada aksi menentang China semalam (kelmarin),” ujar Rajagobal yang jelas kecewa dengan nasib malang melanda skuad negara.
Apa pun, Malaysia sudah berjaya menamatkan kemarau 32 tahun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan setelah kali terakhir melakukannya pada Sukan Asia 1978.
Petang ini, dengan beraksi tanpa tekanan, Malaysia yang turun selaku underdog mungkin mampu mencipta kejutan melangkah pula ke suku akhir andai tuah menyebelahi mereka.
Namun, Iran yang merupakan pasukan keempat terbaik Asia berbanding Malaysia di kedudukan ke-27 cukup cemerlang pada saingan Kumpulan B dengan menewaskan Turkmenistan 4-1, Bahrain 1-0 dan Vietnam 1-0.
Tags: Iran, Malaysia, Malaysia vs Iran, Sukan Asia 2010