Tuesday, 30/11/2010

Sukan Asia 2010: Keputusan Final Skuasy

Published on November 21, 2010 by admin   ·   No Comments

Nicol David, Azlan Iskandar menang pingat emas untuk Malaysia

ACARA skuasy membawa keceriaan berganda kepada kontinjen negara pada Sukan Asia ke-16 di Guangzhou apabila berjaya menghadiahkan dua pingat emas.

Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David dan Mohd Azlan Iskandar mengesahkan penguasaan Malaysia dalam sukan itu dengan merangkul emas dalam acara individu wanita dan lelaki di Gimnasium Bandar Sukan Asia.

Nicol, pemain nombor satu dunia, mengenepikan cabaran pemain Hong Kong, Annie Au Wing Chi 11-8, 8-11, 11-6 dan 11-7 pada perlawanan akhir yang memakan masa 39 minit untuk mempertahankan gelaran Sukan Asia.

Kejayaan Nicol, 27, adalah kali ketiga buat dirinya dalam siri Sukan Asia.

“Ini adalah Sukan Asia keempat bagi diri saya dan saya bangga untuk menyumbang emas kepada Malaysia sekali lagi. Kini saya bersedia untuk acara berpasukan.

“Tahap persaingan semakin meningkat di Asia…jadi saya menjangka perlawanan akhir semakin sengit. Sudah pasti, kejayaan bukan mudah,” kata Nicol, yang merangkul emas pertamanya pada Sukan Asia di Bangkok pada 1998 ketika berusia 15 tahun.

Nicol menyifatkan saingan akhir menentang lawannya itu sebagai sengit dan mencabar.

“Saya terpaksa kerja keras kerana Annie bermain dengan baik dan pertemuan sebanyak dua atau tiga kali dengannya sebelum ini memang sengit,” kata juara dunia sebanyak lima kali itu.

Bulan lepas, Nicol berjaya memenangi emas pertama Sukan Komanwel di New Delhi selepas empat percubaan.

Sementara itu, pemain wanita negara Low Wee Wern dan Chan Ho Ling dari Hong Kong menerima pingat gangsa selepas tewas dalam saingan separuh akhir perseorangan wanita.

Dalam pada itu, Mohd Azlan menyumbang pingat emas kelima negara selepas menewaskan pemain muda berusia 20 tahun, Aamir Atlas Khan dari Pakistan 11-6, 11-7,dan 11-6 dalam masa 30 minit.

“Saya rasa sungguh lega selepas hanya mendapat perak dan gangsa dalam temasya sebelum ini,” kata Mohd Azlan, yang tumpas kepada pemain negara Ong Beng Hee di final pada edisi lepas di Doha, Qatar, pada 2006.

Beng Hee dan pemain India Saurav Ghosal masing-masing menerima pingat gangsa selepas tewas dalam saingan separuh akhir.

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Join Sokernet.com @ Facebook

Berita Berkaitan

Berita Terkini

Hak Cipta © 2010 Sokernet.com | Portal Bola Sepak Terunggul Di Malaysia.