FEDERICO Macheda dan Nemanja Vidic muncul sebagai penyelamat selepas masing-masing meledak satu gol bagi membantu Manchester United seri 2-2 dengan Aston Villa pada saingan Liga Perdana Inggeris malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Villa Park itu, skuad The Red Devils dikejutkan dengan gol pendahuluan pasukan tuan rumah selepas pemain sayap England, Ashley Young menyempurnakan sepakan penaliti yang diperoleh pada minit ke-72.

Villa memperoleh sepakan penalti tersebut selepas tonggak pertahanan United, West Brown menjatuhkan Young dalam kawasan kotak penalti.

Empat minit kemudian, Villa yang kini di bawah kendalian Gerrard Houllier terus menambah derita United apabila Marc Albrighton meledak gol kedua hasil hantaran lintang daripada Young.

Tersentak dengan dua jaringan pihak lawan, The Reds Devils lantas kembali memperkemaskan jentera serangan mereka.

Ternyata, percaturan pengurus United, Alex Ferguson yang membawa masuk Macheda membuahkan hasil selepas dia menjaringkan gol pertama The Red Devils pada minit ke-81.

Sekalipun beraksi di bahagian pertahanan, ia sedikit pun tidak merencatkan kemampuan Vidic bagi menjaringkan gol setelah dia menyamakan kedudukan buat United tatkala perlawanan hanya berbaki lima minit.

Keputusan seri itu menyaksikan United kekal menghuni tangga kedua liga apabila mengumpul 25 mata.

Chelsea masih unggul selaku pendahulu liga apabila mengumpul 28 mata dan dijangka terus mengukuhkan kedudukan mereka andai berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Sunderland hari ini.

Main topics: Liga Perdana Inggeris

Sub topics: , , , , ,


Readers Comments (0)