Daftar Nazmi: PKNS FC akan bincang dengan FAM

Nazmi Faiz Mansor PKNS FC

PENGURUS PKNS FC, Azmi Adnan berkata, pihaknya akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan isu kepulangan bintang Harimau Malaya, Nazmi Faiz Mansor, yang akan beraksi dengan PKNS, musim ini.

Jelasnya, perbincangan itu penting agar pemain yang pernah bermain dengan Beira Mar itu dapat turun beraksi pada 16 Februari ini dalam perlawanan Liga Super menentang Felda United.

“Isnin ini, kami akan berjumpa dengan FAM bagi membincangkan mengenai Nazmi.

“Dan saya berharap isu ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin bagi membolehkan Nazmi beraksi nanti,” katanya kepada pemberita selepas sidang media memperkenalkan Nazmi sebagai pemain PKNS.

Nazmi sebelum ini mencatat sejarah menjadi pemain bola sepak Malaysia pertama yang pernah bermain di Liga Utama Portugal dan mengejutkan ramai pihak apabila membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia.

Desas-desus yang melaporkan Nazmi bakal mewarnai Liga Malaysia akhirnya terjawab apabila hari ini beliau disahkan telah menjadi milik pasukan berstatus kelab, PKNS.

Dalam pada itu, ketika ditanya kepulangan bintang muda berusia 19 tahun itu ke tanah air pada Khamis lalu menimbulkan seribu satu persoalan apabila FAM yang bertanggungjawab membawa pemain itu ke Portugal tidak tahu-menahu mengenai keputusan yang dibuat oleh Nazmi, Azmi enggan mengulas lanjut.

“Saya sendiri pun tidak tahu kenapa, sebab itulah saya dan pihak PKNS yang lain akan pergi berjumpa dengan FAM.

“Mungkin kami akan membawa Nazmi sekali bagi memperjelaskan isu ini kepada FAM sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pemilihan Nazmi ke PKNS, Azmi menjelaskan bahawa pihaknya sendiri terkejut apabila ejen pemain itu menghubunginya dan memberitahu keputusan Nazmi untuk bermain dengan mereka.

“Kami memang terkejut, tapi bila dapat peluang mengambil pemain berbakat seperti Nazmi, kami tidak melepaskan peluang itu.

“Adalah satu kerugian jika melepaskannya, lagipun dengan kehadiran Nazmi ia dapat menguatkan lagi pasukan PKNS,” ujarnya lagi.

Nazmi Faiz sah milik PKNS FC

Segala persoalan mengenai masa depan bintang muda bola sepak negara yang pulang secara mengejut dari kelabnya di Portugal kelmarin, Mohd. Nazmi Faiz Mansor terjawab dengan segera apabila dia sah menjadi milik PKNS, semalam.

Status itu juga menamatkan desas-desus bahawa kepulangan Nazmi ke tanah air hanya sebagai pemain pinjaman selama enam bulan dari S.C Beira-Mar, sebaliknya dia bukan lagi pemain kelab Divisyen Satu Portugal berkenaan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid yang berkata, Nazmi akan diperkenalkan sebagai pemain baru kelab itu pada sidang media di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, hari ini.

“Ya… Nazmi sudah menjadi pemain baru PKNS dan dia akan beraksi di sini bukan sebagai pemain pinjaman seperti yang digembar-gembur sebelum ini.

“Segala perkara mengenai dirinya boleh ditanyakan pada sidang media pada hari esok (hari ini), ” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sumber juga memberitahu Utusan Malaysia, Nazmi mengikat kontrak selama tiga tahun dengan skuad Abdul Rahman Ibrahim itu.

Walaupun menyertai PKNS di luar tempoh perpindahan, Nazmi dikatakan tetap boleh terus beraksi bersama kelab barunya itu di bawah kuota pemain bawah 21 tahun.

Perlawanan berikutnya PKNS adalah menentang Felda United dalam Liga Super pada 16 Februari ini.

Kepulangan bintang muda berusia 19 tahun itu ke tanah air pada Khamis lalu menimbulkan seribu satu persoalan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bertanggungjawab membawa pemain itu ke Portugal tidak tahu menahu mengenai keputusan yang dibuat oleh Nazmi.

Related Posts

2 Responses to Daftar Nazmi: PKNS FC akan bincang dengan FAM

  1. Pingback: Nazmi Faiz ikat kontrak 3 tahun dengan PKNS FC | Sokernet

  2. kalau JDT konfirm boleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>