SELEPAS 80 tahun dan 19 edisi, peminat global bakal menyaksikan juara baru dinobatkan di Stadium Soccer City awal pagi esok apabila juara Eropah, Sepanyol turun menentang Belanda dalam final yang dijangka rancak dan menghiburkan.
Empat personaliti bola sepak - Arsene Wenger, Cafu (kapten yang menjuarai Piala Dunia 2002 bersama Brazil), bekas kapten Perancis, Marcel Desailly dan Gary Bailey, bekas penjaga gol Manchester United - yang menjadi Duta Castrol turut hadir di Johannesburg.
Mereka mendapat undangan khas untuk memberikan penilaian dan pandangan masing-masing mengenai pasukan mana bakal menjadi juara baru di majlis Sambutan Piala Dunia 2010 Castrol yang diadakan di Universiti of Witwatersrand di sini.
Sepanyol pimpinan Vincente Del Bosque jelas menjadi pilihan kerana skuad bergegar La Rojas memiliki barisan yang kompak, tersusun dan bergerak sebagai satu unit padu dan Wenger tidak dinafikan amat meminati corak permainan juara Eropah itu.
“Saya tidak melihat kecacatan pada mereka. Pemain mereka tampak bersemangat untuk mendapatkan gelaran kedua dan rentak permainan mereka baik ketika ini, khasnya selepas menewaskan Jerman.
“Belanda akan mendapati sukar menembusi benteng lawan dan jika kekuatan pemain di bahagian tengah pimpinan Xavi berfungsi baik, tiada siapa dapat menyekat mereka. Ini satu barisan penuh skil,” katanya yang menjadi personaliti paling popular di majlis Gala dengan kehadiran lebih 500 jemputan seluruh dunia itu.
Cafu yang kerap menguntum senyuman dan menggunakan jurubahasa turut menyokong pandangan Wenger apabila memilih Sepanyol dengan hujah barisan itu sudah menemui sentuhan bisa mereka - sama seperti ketika menjuarai Euro 2008.
“Sepanyol adalah barisan terbaik dan jika hantaran bola jarak dekat mampu dikuasai, saya lihat Belanda akan sukar bergerak kerana mereka bergantung kepada individu untuk mencipta serangan. Apapun ini bukan satu Piala Dunia yang terbaik dari segi corak teknikal tapi Sepanyol dan Belanda memiliki kemampuan besar untuk menghiburkan kita semua nanti,” katanya.
Nada Desailly dan Bailey pula berbeza apabila beranggapan Belanda akan menamatkan badi tanpa gelaran selepas dua kali muncul naib juara pada 1974 dan 1978.
“Saya percaya mereka akan bernasib baik buat kali ketiga ini. Wesley Sneijder dan Arjen Robben boleh melakukan sesuatu.”
Bailey yang pernah membintangi United pada awal 80-an dan menjuarai Piala FA 1983 melihat Belanda ada kelebihan.
“Sepanyol akan menguasai permainan tapi Belanda akan menjaringkan gol kemenangan.”
Ramalan
“Sepanyol barisan penuh skil dan jika penguasaan bola mereka baik, saya percaya mereka akan menjadi juara baru di Afrika Selatan”
Arsene Wenger
Pengurus Arsenal
“Saya tidak melihat kenapa Sepanyol akan kalah kerana mereka ada pertahanan baik dan barisan tengah terbaik dunia ketika ini. Mereka pasukan paling menarik di sini”
Cafu
Kapten Brazil 2002
“Belanda ada ramai pemain berbakat seperti Wesley Sneijder, Arjen Robben dan Marc van Bommel dan kemampuan individu mereka akan memastikan pasukan ini muncul juara”
Marcel Desaily
Bekas kapten Perancis
“Saya pilih Belanda akan jadi juara kali ini. Pasukan ini konsisten dan pemainnya berbakat untuk pantas mengubah corak permainan dengan keupayaan besar individu”
Gary Bailey
Bekas penjaga gol Manchester United
Tags: Belanda, Final, Final Piala Dunia, Juara Piala Dunia, Piala Dunia 2010, Sepanyol