Sunday, 08/08/2010

Asia berbangga, Afrika merudum

Published on July 10, 2010 by admin   ·   No Comments

SATU catatan sejarah Piala Dunia telah tercipta di bumi Afrika Selatan bagi bola sepak Asia apabila dua wakilnya, Korea Selatan dan Jepun mampu layak ke pusingan kedua buat pertama kali di luar negara.

Wira-wira Taeguk membuktikan pelaburan beberapa pemain utamanya beraksi di beberapa Liga Eropah memberikan pulangan setimpal kerana berjaya menafikan hak Greece dan Nigeria melepasi cabaran peringkat kumpulan.

Sementara Jepun, dibantu sentuhan magis Keisuke Honda yang bermain di CSKA Moscow muncul pasukan Asia paling cemerlang selepas menewaskan jaguh Afrika, Cameroon dan Denmark.

Malah, aksi Jepun kali cukup luar biasa kerana menampilkan kekuatan tersendiri di bahagian pertahanan yang diketuai Marcus Tulio Tanaka dan Yuji Nakazawa di samping kehebatan skuad

Blue Samurai itu melakukan jaringan menerusi sepakan percuma.

Di sebaliknya, timbul satu persoalan sampai bila benua Asia perlu bergantung harap kepada kedua-dua negara ini menyinar di pentas dunia tatkala pasukan lain tidak ubah dilihatsekadar memenuhi kuota di Piala Dunia.

Bagi Australia, kegagalan mereka layak ke pusingan kedua mungkin sudah memang dijangkakan selepas tumbang 0-4 kepada Jerman pada perlawanan pertama namun itu tidak harus menjadi alasan mengapa mereka tidak dapat mengulangi kejayaan pada 2006.

Walaupun dapat mengalahkan Serbia 2-1 pada aksi terakhir kumpulan dan tidak layak ke pusingan kalah mati ekoran rekod jaringan yang buruk berbanding Ghana, Australia perlupantas membuat kerja rumah jika berhasrat mahu mewakili nama Asia pada masa akan datang.

Namun, kehadiran Korea Utara jelas memberikan aib yang besar kepada Asia apabila dibelasah 0-7 kepada Portugal di samping tewas 0-3 kepada Ivory Coast selepas membuka mata dunia ketika tewas 1-2 di tangan juara dunia lima kali, Brazil.

Apa yang jelas, kebanyakan pemain Korea Utara amat kurang pendedahan bermain di pentas antarabangsa tidak seperti jirannya, Korea Selatan dan Jepun.

Banyak kelemahan ketara dapat diperhatikan kepada skuad dari negara yang mengamalkan dasar tertutup kepada dunia luar itu, antaranya kawalan bola, skil dan ketiadaan pemain yang kreatif dalam melakukan serangan.

Sementara itu, seluruh benua Afrika mungkin boleh berpesta jika Ghana berjaya melangkah ke separuh akhir pada tempoh hari jika bukan gara-gara tindakan selamba Luis Suarez menepis bola menggunakan tangan di atas garisan gol pada pertemuan suku akhir yang penuh dengan drama.

Tetapi sudah tersurat, nasib jelas tidak menyebelahi Ghana apabila Asamoah Gyan tidak memanfaatkan penalti yang diberikan sebelum Black Stars rebah kepada Uruguay menerusi penentuan sepakan penalti.

Ghana masih boleh berbangga walaupun tidak dapat mencatat sejarah menjadi pasukan pertama Afrika melangkah ke separuh akhir kerana menunjukkan prestasi dan persembahan yang mengagumkan peminat bola sepak dunia.

Ketika Ghana cemerlang, kelibat pasukan Afrika jelas umpama lebih sudu daripada kuah terutamanya membabitkan Nigeria dan Cameroon. Kedua-dua pasukan ini gagal mencatatkan sebarang kemenangan di Piala Dunia kali ini.

Bagaikan serba tidak kena buat ‘Super Eagles’ walaupun dibarisi ramai pemain yang berkelana di bumi Eropah seperti Obafemi Martins, Aiyegbini Yakubu dan Joseph Yobo kerana sekadar membawa satu mata ketika seri 2-2 dengan Korea Selatan.

Persembahan buruk itu turut dijejaki oleh Cameroon malah lebih malang mereka tewas dalam ketiga-tiga perlawanan kepada Belanda, Jepun dan Denmark.

Bermain di bumi Afrika langsung tidak dapat meningkatkan tahap permainan mereka lebih cemerlang dan Piala Dunia ini mungkin mahu dilupakan secepat mungkin oleh peminat setia mereka.

Pasukan tuan rumah, Afrika Selatan yang sudah dijangka tidak dapat melepasi pusingan pertama

boleh dianggap berjaya kerana dapat memalukan bekas finalis 2006, Perancis 2-1 dalam aksi akhir kumpulan.

Beberapa pemainnya seperti Siphiwe Tshabalala dan Katlego Mphela mungkin akan menjadi buruan kepada kelab-kelab sekitar Eropah.

Algeria atau dikenali sebagai ‘Desert Foxes’ juga menghampakan kerana langsung tidak berupaya menjaringkan satu gol dalam ketiga-tiga perlawanan walaupun berjaya menidakkan ramalan awal bahawa skuad itu akan menjadi belasahan kepada England dan Amerika Syarikat.

Apa yang pasti, pasukan-pasukan dari benua Asia dan Afrika ini nyata perlu meningkatkan mutu dan tahap teknikal permainan mereka supaya Piala Dunia 2014 di Brazil mungkin kita boleh melihat wakil dari salah satu benua ini beraksi di pentas akhir.

Tags: , , , , , , , ,

Readers Comments (0)




Berita Berkaitan

Berita Terkini

Hak Cipta © 2010 Sokernet.com | Portal Bola Sepak Terunggul Di Malaysia.