Saturday, 31/07/2010

Amerika Selatan tenggelam di hujung saingan

Published on July 10, 2010 by admin   ·   No Comments

PASUKAN Amerika Selatan tampil ke Piala Dunia 2010 dengan reputasi yang cukup gah. Diketuai Brazil selaku pasukan di rangking nombor satu dunia, benua itu turut meletakkan Argentina sebagai harapan mereka untuk membawa pulang trofi rebutan dunia.

Namun kini, setelah segalanya hampir sampai ke penghujung, nama benua itu seakan tenggelam.

Mujurlah ada Uruguay yang mara ke separuh akhir. Kemaraan itu bagaimanapun diperlekeh banyak pihak kerana laluan mereka kelihatan agak mudah tanpa perlu melepasi halangan pasukan-pasukan gergasi seperti dilalui Belanda, Sepanyol dan Jerman.

Lebih menjadi pertikaian, layaknya Uruguay ke separuh akhir tidak dapat dinafikan berpunca daripada ‘permainan kotor’ Luis Suarez yang menampan bola tandukan penyerang Ghana, Dominic Adiyiah dengan tangan di atas garisan gol.

Semua itu hanya menambah sorotan cerita duka cabaran Amerika Selatan pada kejohanan di bumi Afrika tahun ini.

Tidak dapat dinafikan, penampilan awal mereka di Afrika Selatan kali ini dilihat garang. Kelima-lima wakil mereka termasuk Chile dan Paraguay berjaya melepasi peringkat kumpulan sebelum Chile terkandas di pusingan kedua setelah dijinakkan Brazil.

Keegoan Maradona

Di pusingan kedua, Brazil dan Argentina dilihat cukup ampuh untuk bergelar juara. Brazil tanpa banyak masalah menumbangkan Chile 3-0 sementara Argentina sambil disulami keangkuhan Maradona menamatkan cabaran Mexico dengan kemenangan 3-1.

Di suku akhir, jaguh-jaguh benua itu tersungkur satu per satu. Brazil dibenam Belanda yang menunjukkan semangat juang tinggi untuk bangkit meskipun ditekan pada awal permainan dengan gol Robinho pada babak pertama.

Keegoan Maradona pula memakan diri sehingga kelihatan cukup tidak berdaya sebaik pasukannya diaibkan Jerman dengan empat gol tanpa balas.

Pertahanan Paraguay juga nyata tidak cukup kebal untuk menahan asakan El-Matador. Tampil dengan taktikal stereotaip -Pertahanan yang membosankan-, benteng mereka akhirnya runtuh juga dek penangan penyerang berbisa Sepanyol David Villa.

Persoalan yang tinggal, apa yang tidak kena dengan pasukan-pasukan dari Amerika Selatan ini terutamanya Brazil yang menunjukkan permainan tidak bermaya sewaktu tumpas kepada Belanda dan Argentina yang dibelasah sehingga empat gol tanpa balas kepada Jerman?

Ramai yang menyifatkan segala-galanya berpunca daripada sikap ego dan degil kedua-dua jurulatih yang mengemudi pasukan itu iaitu Dunga dan Maradona.

Mempunyai latar belakang hampir sama dengan kedua-duanya pernah menjadi kapten kepada pasukan masing-masing ketika menjulang piala dunia, sikap Dunga dan Maradona tidak banyak berbeza ketika menjadi jurulatih dengan masing-masing ego untuk membentuk pasukan tanpa mempedulikan sebarang kritikan membina.

Kedua-dua mereka mengambil langkah menyingkirkan bintang-bintang yang dianggap dapat membantu pasukan.

Di kem Brazil, ketiadaan Ronaldinho, Alexandro Pato dan Bintang muda 18 tahun, Neymar yang turut digelar ‘Robinho baru’ membangkitkan kemarahan peminat yang menganggap ketiga-tiga mereka sebagai aset penting kepada kejayaan Brazil.

Sebaliknya pemain-pemain tua yang tidak banyak diturunkan seperti Grafite, Kleberson (31 tahun), Gilberto Silva (33 tahun) dan Gilberto (34 tahun) menjadi pilihan Dunga untuk dibawa ke Afrika Selatan.

Corak permainan diterapkan Dunga terhadap Brazil dengan mengenepikan sama sekali tarikan samba turut mengundang kritikan.

Beliau lebih gemar mengamalkan corak serangan balas yang memerlukan pergerakan pantas para pemain - Sesuatu yang bertentangan dengan pemilihan pemain dilakukannya.

Begitu juga dengan Maradona di Argentina. Pemain-pemain berpengalaman seperti Esteban Cambiasso, Javier Zanetti, Walter Samuel dan Diego Milito yang cemerlang di peringkat kelab tidak dipanggil untuk membawa cabaran Argentina.

Sebaliknya legenda yang terkenal dengan jaringan ‘tangan tuhan’ itu membuat kejutan dengan menyenaraikan Ariel Garce (Colonge), Juan Insaurralde (Newell) serta pemain tengah Sebastian Blanco (Lanus) dalam 30 senarai pemain untuk penilaian terakhir sebelum hanya membawa Garce dalam 23 pemain ke Afrika Selatan.

Natijahnya, mereka tersungkur kepada Jerman yang dibarisi pemain-pemain muda. Jelas sekali, keghairahan menyerang Argentina tanpa mempedulikan ruang yang terlampau terbuka di bahagian tengah dan pertahanan memakan diri yang diisi pemain tidak berpengalaman di Piala Dunia memakan diri.

Tags: , , , , , , ,

Readers Comments (0)




Berita Berkaitan

Berita Terkini

Hak Cipta © 2010 Sokernet.com | Portal Bola Sepak Terunggul Di Malaysia.