CEMERLANG memang cemerlang, itulah yang boleh digambarkan buat pasukan dari benua Eropah selepas memiliki wakil dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2010 yang bakal berlangsung awal pagi esok iaitu pertemuan di antara Belanda dan Sepanyol.
Sekurang-kurangnya kedua-dua pasukan itu menutup malu beberapa pasukan gergasi sama benua seperti Itali, Perancis tidak terkecuali England dan Portugal yang dicanang-canang bakal mengisi slot suku akhir tetapi gagal.
Kehebatan pasukan Eropah di Afrika Selatan turut dihiasi dengan aksi memberangsangkan beberapa pasukan kerdil seperti Slovakia, Slovenia dan Serbia yang mampu memberi tentangan walaupun dipandang sepi sahaja sebelum kejohanan bermula.
Setidak-tidaknya Eropah masih boleh berbangga dengan pasukan yang mempunyai liga terkenal seperti La Liga di Sepayol, Eredivise di Belanda dan Bundesliga di Jerman kerana ketiga-tiga negara itu berjaya mengenepikan ego Amerika Selatan untuk menempah tempat ke separuh akhir.
Mengulas mengenai Belanda, mereka memang mempunyai ramai pemain berbakat terutama sekali untuk mengisi bahagian tengah dan mengamalkan permainan ‘total football’ di mana siapa sahaja boleh mencetak nama sebagai penjaring.
Belanda tidak mengharapkan kepada penyerang, Robin van Persie sahaja untuk meraih gol sebaliknya pemain tengah seperti Arjen Robben, Wesley Sneijder hatta pertahanan, Giovanni van Brockhorst yang menggila menjaringkan gol.
Pasukan The Oranje ini cemerlang mengekalkan rekod tanpa kalah sejak di peringkat kumpulan sehingga ke separuh akhir Selasa lalu, mereka mampu mencatat sejarah meraih kejuaraan Piala Dunia pertama esok.
Sepanyol memang layak disenaraikan dalam kuasa besar bola sepak Eropah sebaris dengan Itali, Jerman dan Belanda terutama sekali selepas mereka muncul juara Euro dua tahun lalu serta mencatatkan rekod cemerlang di peringkat kelayakan Piala Dunia.
Sebut sahaja rangkaian tengah Sepanyol, semua pasukan pasti akan memikir dua kali bagaimana untuk menghadapinya terutama dengan kehadiran , Andres Iniesta, Xabi Alonso dan Cesc Fabregas.
Eropah juga boleh berbangga dengan kehadiran skuad muda Jerman, yang hadir di bumi Afrika tanpa sebarang harapan tetapi mengejutkan ramai pihak selepas menang besar ke atas pasukan yang ramai pemain berpengalaman iaitu England dan Argentina.
Skuad bimbingan Joachim Loew ini membuktikan bola sepak moden bukan berlandaskan kepada pengalaman pemain semata-mata sebaliknya, kepantasan dan kecergasan adalah nadi kepada kejayaan sesuatu pasukan yang ada pada pemain muda.
Tags: Belanda, Eropah, Jerman, Piala Dunia 2010, Sepanyol, Sorotan