Sunday, 31/10/2010

Final Piala Dunia 2010

Published on July 11, 2010 by admin   ·   No Comments

AKHIRNYA Piala Dunia menamatkan kemuncaknya pada malam ini. Setelah sebulan negara-negara yang terlibat melancarkan “perang” dalam kempen Piala Dunia, babak terakhir menyaksikan dua negara bertarung untuk mengesahkan siapa hero kejuaraan paling berprestij dalam arena sukan antarabangsa itu.

Penentuan antara Sepanyol dan Belanda pastinya ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh rakyat di kedua-dua negara tersebut malah peminat sukan bolasepak di seluruh dunia.

Pelbagai ramalan dan telahan telah dicernakan bagi mengaitkan siapa yang bakal menjulang kejuaraan itu namun apa yang pasti hanya yang terbaik di samping sedikit tuah dan nasib akan menentukan juara sebenar Piala Dunia yang pertama kali dianjurkan di bumi Afrika.

Walau siapa pun juaranya nanti mereka akan mencatat sejarah tersendiri memandangkan kedua-dua pasukan tidak pernah memenangi Piala Dunia sebelum ini.

Hanya Belanda yang mencatat kejayaan terhampir dengan layak ke perlawanan akhir pada tahun 1974 dan 1978 sebelum kalah kepada tuan rumah iaitu Jerman Barat dan Argentina.

Pencapaian terbaik Sepanyol dalam Piala Dunia hanyalah sekadar ke separuh akhir pada 1950.

Perlawanan akhir juga umpama pelengkap kepada pengakhiran badi yang ditanggung Sepanyol dalam kejohanan bolasepak di peringkat antarabangsa. Walaupun pasukan itu sentiasa

melahirkan bintang-bintang terbaik namun mereka tidak pernah memenangi kejuaraan besar sehinggalah kejayaan menjulang Kejuaraan Eropah pada 2008.

Walau apa pun hakikatnya, sepanjang kejohanan Piala Dunia berlangsung tidak dapat lari daripada kontroversi yang akhirnya sedikit sebanyak merencatkan kerancakannya.

Piala Dunia kali ini telah dikejutkan dengan penghantaran pulang penyerang ternama Perancis Nicolas Anelka kerana menghina jurulatih, Raymond Domenech dan enggan meminta maaf.

Penyerang Chelsea itu dilaporkan mengeluarkan kata-kata kesat kepada Domenech pada separuh masa ketika pasukan itu tewas 2-0 kepada Mexico. Ia akhirnya memporak-perandakan pasukan itu sehingga mengakibatkan pemainnya meninggalkan padang latihan.

Selepas Perancis yang juga naib juara Piala Dunia 2006 terpaksa pulang awal, seteru mereka dalam perlawanan akhir itu iaitu Itali juga menerima nasih yang sama.

Penyandang juara itu tersingkir selepas tewas 3-2 kepada Slovakia dalam perlawanan terakhir Kumpulan F. Mungkin akibat terlalu memandang rendah serta bermain sambil lewa mengakibatkan Itali terpaksa menamatkan saingan dengan penuh penghinaan sedangkan mereka hanya perlu seri untuk layak ke pusingan kedua.

Penjaga gol yang merupakan benteng terakhir dalam mana-mana pasukan juga tidak terlepas daripada kontroversi. Pastinya semua peminat England tidak dapat memaafkan kesilapan bodoh penjaga gol mereka, Rob Green kerana melepaskan gol mudah dalam perlawanan pertama menentang Amerika Syarikat (AS) yang berakhir dengan kedudukan seri 1-1.

Mungkin memang sifat semulajadi manusia untuk mencari kesalahan orang lain. Akhbar Britain menyalahkan bekas teman wanita Green sebagai punca kekalahan kerana bertindak memutuskan hubungan sebelum ke Piala Dunia.

Tempias yang sama turut dirasai oleh teman wanita penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas yang melepaskan gol mudah sehingga mengakibatkan pasukannya kalah 1-0 kepada Switzerland dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan.

Sara Carbonero yang juga wartawan sukan dilihat berada di belakang gawang Sepanyol ketika perlawanan berlangsung dan dikatakan menjadi punca Casillas tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya.

INSIDEN yang mencetuskan kontroversi apabila kekasih Casillas, Sara Carbonero yang berada di belakang gawang ketika pertemuan Sepanyol dan Switzerland.

Namun kejayaan Sepanyol ke perlawanan akhir pasti menutup langsung isu berkenaan. Adalah menjadi harapan Carbonero yang diiktiraf sebagai wartawan sukan paling cantik di dunia, tidak akan berada di belakang gawang Sepanyol pada malam ini. Jika tidak pasti dia akan disalahkan ke akhir hayat jika pasukan Sepanyol kalah.

Tangan tuhan

Kontroversi “tangan tuhan” berlaku sekali lagi apabila pemain Uruguay, Luis Suarez bertindak menumbuk bola yang menuju ke gawang gol dalam perlawanan suku akhir dengan Ghana. Walaupun diperintah keluar padang dan Ghana diberi peluang sepakan penalti, namun pemainnya Asamoah Gyan gagal menyempurnakannya mengakibatkan perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti.

Ghana akhirnya tumpas 4-2. Mungkin ada yang beranggapan nasib tidak menyebelahi Ghana tetapi tindakan Suarez itu pastinya tidak boleh diterima walaupun mungkin beliau diiktiraf sebagai hero di negaranya. Mungkin tindakan lebih tegas perlu dikenakan seperti menamatkan terus karier pemain supaya tidak menutup peluang pasukan yang lebih layak ke peringkat seterusnya apatah lagi ia berlaku dalam kejohanan berprestij seperti Piala Dunia.

Kontroversi terus berlaku melibatkan mutu pengadilan. Beberapa jaringan kontroversi seperti dalam perlawanan Argentina menentang Mexico di pusingan kedua akhirnya mengundang padah. Ini kerana jaringan Carlos Tevez yang jelas off side telah diterima oleh pengadil dari Itali, Robert Rosetti.

Beliau kemudian mengumumkan persaraan dalam bidang pengadilan namun menyatakan keputusan tersebut tiada kena mengena dengan kontroversi itu.

Biar pun begitu, Presiden FIFA, Sepp Blater sebenarnya telah memohon maaf kepada pegawai Mexico atas kesilapan tersebut.

Begitu juga jaringan kedua dalam perlawanan suku akhir melibatkan Belanda dan Uruguay yang dilihat off side, namun pengadil perlawanan tidak mengendahkannya.

Pastinya sekali lagi peminat England kecewa apabila jaringan Frank Lampard dalam pertemuan dengan Jerman di pusingan kedua tidak disahkan walaupun rakaman menunjukkan dengan jelas bola masuk. Jaringan tersebut dianggap antara punca peluang England dalam Piala Dunia kali ini dinafikan. Pegawai tertinggi FIFA telah meminta maaf di atas kejadian itu dan perkara tersebut bukanlah sesuatu yang baru di seluruh dunia. Kini terdapat gesaan supaya teknologi lebih canggih seperti dalam kejohanan tenis antarabangsa digunakan bagi mengurangkan kesilapan.

Adalah fitrah manusia tidak lari daripada membuat kesilapan. Namun mungkin sudah tiba masanya teknologi yang lebih sesuai digunakan supaya keadilan dapat ditegakkan. Bagaimanapun bukan bermakna kecanggihan mengenepikan langsung keupayaan manusia terutama pihak pengadil.

Pastinya kontroversi paling menarik sepanjang kejohanan ini berlangsung adalah keupayaan sotong kurita dari Jerman yang dikatakan mempunyai kuasa psikik mengenai negaranya.

Sotong yang dikenali sebagai Paul, setakat ini telah membuat enam ramalan yang tepat dan paling baru apabila menelah Jerman akan tersungkur kepada Sepanyol dalam separuh akhir.

Paul yang berusia dua tahun telah digunakan untuk membuat ramalan pada kejohanan Euro 2008 namun ramalannya salah dalam perlawanan akhir juga antara Sepanyol dan Jerman.

Lebih melucukan Paul menerima ancaman bunuh apabila penyokong Argentina mengugut akan memakannya selepas pasukan mereka dibelasah 4-0.

Namun pastinya perlakuan itu tidak akan diterima penyokong Jerman yang melihat Paul sebagai haiwan kesayangan terbaru rakan senegaranya.

Itulah antara rentetan beberapa kontroversi yang melanda Piala Dunia 2010. Mungkin ramai berpandangn kontroversi yang berlaku sedikit sebanyak merencatkan keghairahan dan keunikan kejohanan itu. Namun tidak semua kontroversi berakhir menyedihkan sebaliknya menghangatkan serta menambah keunikan Piala Dunia.

Yang pasti kehangatan dan kontroversi merupakan sebahagian daripada asam garam Piala Dunia. Walau siapa pun pemenangnya malam ini, kita perlu ucap terima kasih dan selamat tinggal kepada Afrika Selatan dan selamat datang Brazil yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014.

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Join Sokernet.com @ Facebook

Berita Berkaitan

Berita Terkini

Hak Cipta © 2010 Sokernet.com | Portal Bola Sepak Terunggul Di Malaysia.