Kes saman Annuar ditangguh, FAM masih gagal failkan hujahan bertulis
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 5 April ini untuk membuat keputusan terhadap saman pemula yang difailkan Tan Sri Annuar Musa berhubung penggantungan beliau sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Hakim Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya.
Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Annuar ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran kes itu tetapi pihak defendan memohon penangguhan atas alasan belum memfailkan hujahan bertulis.
Beliau berkata defendan juga memohon penangguhan kerana telah memfailkan permohonan di bawah Aturan 33 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 bagi mahkamah memutuskan persoalan undang-undang.
“Pihak kami membantah penangguhan itu kerana arahan mahkamah untuk mengemukakan hujahan bertulis sudah lama tetapi mereka tidak berbuat demikian dan mereka sepatutnya memfailkannya Jumaat lepas.
“Kami juga membantah kerana mahkamah telah menetapkan hari ini untuk pendengaran kes tetapi mereka failkan permohonan terlalu lewat iaitu semalam,” katanya.
Yusfarizal berkata Hadhariah membenarkan kes ditangguhkan sehingga 26 Mac ini dan pada tarikh sama mahkamah akan mendengar permohonan yang difailkan oleh pihak defendan itu.
Beliau berkata mahkamah juga memerintahkan defendan memfailkan hujahan bertulis dalam masa tiga minggu dan menetapkan 5 April ini untuk keputusan.
Pada 5 Jun 2012, Annuar selaku plaintif memfailkan saman pemula di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan FAM sebagai defendan pertama dan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzudin Ahmad sebagai defendan kedua.
Dalam pernyataan tuntutannya, Annuar mendakwa hukuman yang dijatuhi terhadapnya tidak sejajar dengan pertuduhan asal dan draf pertuduhan terhadapnya mengandungi kecacatan serta FAM bertindak secara mala fide (berniat jahat).
Beliau berkata Azzudin dalam surat bertarikh 2 April 2012 juga melarang beliau daripada menghantar wakil ke Mesyuarat Khas Ke-21 Jawatankuasa Tatatertib FAM dengan alasan defendan kedua sendiri yang akan mewakili beliau.
Sedangkan, katanya, Azzudin tidak sepatutnya menjadi wakil beliau kerana defendan kedua adalah pihak yang membuat tuduhan.
Sehubungan itu Annuar menuntut 10 perisytiharan berhubung tindakan FAM yang membawa kepada penggantungan beliau, antaranya ialah pertuduhan FAM terhadap beliau dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mac 2012 adalah cacat, tidak sah dan terbatal.
Annuar juga mendakwa perbicaraan tatatertib pada 4 April 2012 dan hukuman terhadap beliau pada keesokan harinya (5 April 2012) tidak mematuhi prinsip keadilan asasi.
Selain itu, beliau memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa kesemua tindakan yang membawa kepada penggantungan beliau itu tidak mematuhi status dan kod tatatertib FAM yang sekali gus menjadikan ia terbatal dan tidak sah.
Annuar turut memohon perintah injunksi menghalang pihak defendan daripada melarang beliau untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM dan jawatan lain serta melibatkan diri dalam sebarang acara bola sepak.
Pada 4 April 2012, Annuar dikenakan hukuman gantung 30 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas jawatankuasa itu mendapati beliau bersalah membuat kenyataan akhbar negatif mengenai skuad bola sepak negara pada 12 Feb 2012.
Akibat hukuman itu, Annuar tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti badan induk bola sepak negara, serta aktiviti Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di mana beliau adalah Presiden. - Bernama
February 27, 2013 - 9:44 am
Go Go TSAM ajar sikit orang2 yang x reti bahasa dalam FAM tuh. yang selama ini anggap FAM harta mak bapak dorang
March 5, 2013 - 4:21 pm
sekilas baca tajuk ingatkan orang FAM tak reti menulis….
February 27, 2013 - 12:43 pm
kebenaran pasti akan terungkap…
February 27, 2013 - 3:27 pm
nampak sangat Fam lemah dan tak efficient.Azzudin pula bukan lawyer dan tidak ada kelulusan apa apa kecuali bidang ketenteraan.Dia dapat kerja di interview olih presiden aja.Kuasa nya kurang sikit dari presiden.Sebab itu dia tundok aja kpd boss.
February 27, 2013 - 8:18 pm
tak abeh2 lahanat ni nak tunjuk hero… puiii
February 28, 2013 - 12:54 pm
sedare tak tau cerita sila SENYAP..
February 28, 2013 - 8:09 pm
lahanat lahanat dia pun at least ada gak sumbangan pada sukan negeri & negara. Ko yg mulia sangat apa sumbangan ko?
March 2, 2013 - 12:29 pm
go go ispector gajet…
March 8, 2013 - 7:33 pm
itu tandanya cara fam ingin menjatuhkan sesebuah pasukan, seperti pasukan2 lain, kedah terutamanya semasa almarhum ahmad basrui akil. sama jugak kena macam tu. last2 kedah jatuh. apabila jatuh nya sesuatu pasukan itu, samalah jatuhnya moral pada pasukan tersebut. lalu jatuh merudum prestasi pasukan tersebut. pemain berkaliber tidak dapat di lahirkan kerana tiada orang yang boleh menilai tahap permainan pemain tersebut. itulah sebenarnya yang azamuddin a.k.a tok mudin nak kan untuk pembangunan bola sepak malaysia. cubalah tengok sekarang mana ada orang yang berani mempertikaikan keputusan FAM walaupun keputusan itu membawa pasukan negara mundur 50 tahun kebelakang.
Pingback: Kes saman TSAM: Mahkamah Tinggi sekali lagi tolak bantahan FAM | Sokernet
Pingback: Mahkamah bakal putuskan kes Annuar Musa saman FAM 5 April | Sokernet